Sungai Siput: DAP, PKR, PSM perlu berunding – Rafizi
PKR, DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) perlu duduk semeja dan membincangkan status kerusi Parlimen Sungai Siput yang menjadi pertikaian antara 3 parti itu, kata Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu juga berkata satu perbincangan antara ketiga-tiga parti akan dilakukan dalam masa terdekat, namun mengingatkan PSM perlu faham calon mereka memenangi kerusi itu di bawah bendera PKR.
“Perlu ada satu bentuk bersefahaman sebagai menghormati kerusi itu sebenarnya kerusi Pakatan Harapan, boleh saja ditandingi parti dalam PH.
“Jadi kalau PSM diberi laluan bertanding di Sungai Siput atas logo PKR, maka PSM kena ada ruang untuk berunding supaya boleh kurangkan kerusi bertindih dengan PH,” katanya kepada FMT ketika ditemui di pejabat Invoke Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat PSM yang mahu bertanding di Sungai Siput menggunakan logo parti sosialis itu.
Terdahulu, DAP melalui Pengerusi Perak Nga Kor Ming mengumumkan partinya mahu meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.
Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh hari ini berkata masih belum ada perbncangan serus dengan PSM mengenai kerusi Sungai Siput sehingga ke hari ini, ketika gabungan pembangkang sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar pernah bertanding kerusi tersebut atas tiket DAP pada 1999 menentang presiden MIC ketika itu, Datuk Seri Samy Vellu namun tewas dengan majoriti 5,259 undi. Atas tiket PKR, Michael sekali lagi mencabar Samy Vellu pada 2004 dan tewas dengan majoriti besar 10,349 undi.
Beliau berjaya menewaskan Samy Vellu pada 2008 dengan majoriti tipis 1,821 undi, dan mempertahankan kerusi itu dari Datuk Seri Devamany S Krishnasamy pada 2013 dengan majoriti tipis 2,793 undi.
Rafizi berkata kegagalan mencapai suatu persefahaman antara Pakatan Harapan dan PSM boleh mengundang pertikaian dalaman.
“Sukar kalau PSM ambil pendirian langgar mana-mana saja kerusi. Jika PSM bertanding kerusi itu mereka kena pertimbang bertanding di kerusi lain.
“Kalau mereka berkeras dan langgar kerusi PH, mesti akan dipertikai parti lain dalam PH mengenai hak PSM diberi laluan di Sungai Siput,” katanya.