PRU 14: Huru-hara kaitkan kaum Cina cetus kemarahan rakyat
Seorang pemimpin tidak seharusnya mengancam rakyat bagi memperoleh undi; dengan mensasarkan kaum Cina, Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin MCA hanya membangkitkan kemarahan lebih ramai orang terhadap Barisan Nasional (BN), kata pemimpin DAP Liew Chin Tong.
Ahli Parlimen Kluang itu berkata Najib “merosakkan” sambutan Hari Malaysia semalam dengan ucapan yang mengandungi “unsur ancaman kepada pengundi Cina bagi berdepan pilihan raya umum akan datang”.
Najib dilaporkan berkata “masyarakat Cina akan menjadi sasaran jika Malaysia menjadi huru-hara … Jika tiada keamanan di negara kita, apa yang akan berlaku? Orang Cina akan menjadi sasaran pertama jika tiada keamanan dalam negara.”
Pengerusi BN itu bercakap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina yang dianjurkan MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
“Kenyataan Najib hanya menimbulkan kemarahan kebanyakan rakyat Malaysia kerana tiada yang suka diancam dengan keganasan, terselindung atau sebaliknya.
“Ini satu lagi sebab mengapa kita perlu menolak Najib, MCA dan BN pada pilihan raya umum akan datang,” kata Liew, yang merupakan pengarah pendidikan politik DAP, hari ini di forum kedai kopi Pakatan Harapan (PH) dan acara berbasikal komuniti di Johor Baru pagi ini.
Di PWTC, Najib menggesa kaum Cina di Malaysia untuk tidak membuang masa kepada pembangkang, dengan mengatakan kerajaan BN memerlukan sokongan kuat kaum Cina
Beliau turut mengingatkan komuniti perniagaan Cina yang kerajaan telah membantu dalam perniagaan mereka.
Najib berjanji untuk membina lebih banyak sekolah rendah Cina sebagai balasannya.
Liew mengingatkan Najib yang BN kehilangan kepercayaan pengundi etnik Cina dan India apabila bekas ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein dilihat menghunus keris pada setiap perhimpunan agung Umno dari tahun 2005 hingga 2007.
“Mengayun keris dianggap sebagai ancaman keganasan bukanlah ancaman ringan terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan Umno,” katanya.
Liew juga mengecam MCA, mengatakan tidak akan terkejut jika ia adalah parti komponen BN berasaskan Cina itu bertanggungjawab menasihati Najib untuk membuat kenyataan itu.
“Pada masa ini, MCA taksub dengan ‘strategi 30%’ untuk memenangi 30% undi etnik Cina dengan ancaman keganasan dan menyokong undi rosak.
“Pada pilihan raya umum 2013, Pakatan Rakyat menerima 85% undi etnik Cina di seluruh Semenanjung.
“Apa yang diharapkan MCA ialah dengan mengeksploitasi beberapa masalah di kalangan Pakatan dan ketakutan di kalangan pengundi Cina, ia boleh menggandakan kerusi yang dimenanginya dengan memperoleh sokongan 30% kaum Cina sambil mengekalkan tahap undi etnik Melayu yang sama,” katanya.
Liew berkata ia tindakan “bodoh” MCA kerana menganggap pengundi Melayu menyebelahi Umno, ketika kini “jelas kelihatan ramai orang Melayu bersedia melompat dari kapal Najib yang sedang tenggelam”.
“Ia juga hanya harapan bagi Najib dan MCA untuk menganggap pengundi Melayu tidak akan marah terhadap pembaziran dan rampasan sumber Malaysia oleh Najib, keluarganya dan rakan sekutunya.
“Rakyat Malaysia mesti memberi pengajaran kepada Najib dan MCA agar belajar menghormati pengundi dan demokrasi tanpa mengira latar belakang etnik.”