PH akan cipta sejarah PRU 14 menang saingan 3 penjuru – Mat Sabu
Sejarah menunjukkan parti pembangkang tidak pernah dapat mengalahkan Barisan Nasional (BN) kalau bertanding tiga penjuru dalam pilihan raya umum, sesuatu yang mustahil.
Tetapi Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak setuju. Katanya, sejarah itu akan ditulis semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), malah pada pilihan raya itu jugalah Johor, tanah kelahiran parti tunggak BN, Umno, akan jatuh kepada pembangkang.
Alasannya: pemikiran politik Melayu-Islam sudah berubah manakala dua parti yang menguasai orang Melayu, Umno dan PAS, tidak lagi kuat seperti dulu, kata pemimpin veteran pembangkang itu yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu.
Hujah beliau itu senada dengan satu kaji selidik yang dijalankan oleh Invoke Malaysia yang menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan BN hampir seimbang.
Kesannya, empat parti dalam gabungan PH akan dapat menggembleng sokongan yang cukup daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu, dan seterusnya menang dalam pertandingan tiga penjuru.
Menurut Mat Sabu, perubahan dalam pemikiran pengundi Melayu-Islam itu berlaku terutamanya kerana isu kos sara hidup yang membelenggu perbelanjaan mereka sementara bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan tidak lagi memadai.
“Orang Melayu tidak pernah ditekan seperti ini dan ia mengubah persepsi mereka bahawa Umno boleh menjaga mereka,” kata Mat Sabu kepada The Malaysian Insight.
“Kami percaya hujah kami tentang salah urus negara dan rasuah membantu perubahan pemikiran ini.”
Keperitan yang dialami oleh golongan pekerja dan kelas menengah orang Islam, katanya, sudah menghakis sokongan terhadap Umno, termasuk di kubu tradisinya di Johor dan Pahang.
Mat Sabu juga cukup yakin, berbanding Kedah atau Kelantan, Johor akan jatuh kepada PH dengan peralihan undi Melayu daripada Umno.
“Misalnya, semasa saya ke Johor berceramah, saya nampak hampir 60% yang hadir adalah bekas penyokong BN. Mereka bukan penyokong biasa kita.”
Pada masa yang sama, pendirian PAS yang berdolak-dalik dalam soal hubungannya dengan Umno dan PH meresahkan ahli dan penyokongnya, katanya lagi.
“PAS tidak ada pendirian yang tetap. Dia kata dia tak mahu menukar kerajaan. Kalau undi PAS, tak boleh tukar kerajaan. Mengubah kerajaan itu mustahak untuk meletakkan negara kembali ke landasannya.”
Amanah merupakan ahli PH, gabungan yang disertai oleh parti berbilang kaum PKR dan DAP, dan parti Bumiputera, Bersatu.
PH dijangka akan berdepan BN dan gabungan kerjasama politik diketuai PAS, dikenali sebagai Gagasan Rakyat Sejahtera pada PRU14 nanti. PAS sebelum ini mengumumkan mahu bertanding di 100 kerusi kawasan Parlimen serta di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh Semenanjung.
Keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan apabila ada lebih daripada seorang calon pembangkang menentang BN, parti pemerintah itu akan menang kerana undi untuk pembangkang berpecah.
Ini berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di kerusi negeri di Selangor dan Pulau Pinang apabila calon PAS bertanding menentang BN dan Pakatan Rakyat, gabungan yang kini digantikan oleh PH.
BN menang dua kerusi negeri, Semenyih dan Kota Damansara dengan kurang separuh daripada keseluruhan undi. Dalam kawasan ini, undi yang diberikan kepada pembangkang kalau dicampur-campur melebihi yang diraih oleh calon BN.
Jangkaan parti pembangkang akan kalah dalam pertandingan tiga penjuru didasarkan atas premis kesemua tiga parti — BN, PAS dan PH – sama kuat, kata Mat Sabu.
Pada masa ini, di kerusi di sebelah barat Semenanjung, Umno boleh mendapat lebih kurang 30% daripada keseluruhan undi Melayu di mana-mana kawasan.
Menurut Mat Sabu, sokongan terhadap PAS malah lebih rendah berbanding sokongan orang Melayu kepada Umno.
“Jadi apabila undi Melayu pecah, parti yang menang biasanya yang dapat sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu,” katanya.
“Dan kelompok itu bersama dengan PH,” katanya, sambil mengingatkan kebanyakan kerusi di pantai barat Semenanjung membentuk lebih 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi.
“Kajian kami menunjukkan PAS hanya boleh dapat satu peratus sokongan bukan Melayu. Antara kami dan BN, kami boleh dapat 80% undi bukan Melayu. Jadi sekiranya undi Melayu berpecah, parti yang dapat sokongan majoriti bukan Melayu akan menang.”
Malah sekiranya pentadbiran BN mampu meluluskan pelan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang kontroversi itu, Mohamad tetap yakin PH masih boleh menang.
Pelan persempadanan semula itu didakwa bertujuan menyusun semua kawasan pilihan raya untuk menjadikannya lebih bertumpu pada satu-satu kumpulan etnik. Sekiranya diluluskan di Parlimen, akan ada lebih banyak kerusi dengan lebih 80% pengundi Melayu dan bukan Melayu, dan semakin kurang bilangan kerusi campuran.
PH mendakwa pelan ini sepatutnya menguntungkan BN kerana ia tidak mendapat sokongan besar daripada pengundi bukan Melayu.
“Apabila ada peralihan sokongan Melayu, BN akan kalah teruk di kerusi majoriti Melayu, kerana seperti yang saya kata, Melayu sudah berubah pandangannya terhadap Umno.” –