Pas tidak wajar kekal dalam kerajaan Selangor menjelang PRU
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) melihat tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Azmin Ali membentuk Sekretariat PH negeri masih belum cukup selagi mana PKR masih berhubung dengan Pas dalam kerajaan negeri.
Melalui jurucakapnya, Zanirun Baba, GAH berpendapat Azmin perlu mempertimbangkan cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Selangor yang mengusulkan agar Pas disingkir daripada kerajaan negeri bagi memantapkan kerjasama politik PH menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU).
Merujuk kenyataan Ahli Parlimen Ampang Zuraidah Kamaruddin yang membidas Amanah sebagai tidak matang apabila bertindak meluluskan usul penyingkiran Pas, GAH menyifatkan teguran Zuraida sebagai tidak rasional memandangkan Pas boleh menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri untuk menyerang kembali PH.
“Dalam hal konsensus yang diungkapkan oleh Zuraidah maka wajar setiap hasrat komponen PH dibawa dan diberi perhatian khusus di dalam PH Selangor.
“Inilah platform konsensus berdasarkan kerangka PH. Maka Zuraidah tidak perlulah meloncat dan mengamuk tidak ketahuan (atas desakan mempertimbangkan penyingkiran Pas) disebabkan ‘stage’ tersebut belum lagi ke tahap mendesak,” katanya dalam satu kenyataan.
GAH juga menyelar Zuraidah yang menganggap Amanah tidak matang lewat tuntutan sedemikian. Menurut GAH, seni politik yang diamalkan Zuraidah sudah tidak praktikal dalam era maklumat tanpa sempadan.
“Dalam konteks ini masyarakat sekarang sudah cukup masak dengan politik rektorik oleh kelompok kartel.
“Oleh itu, segala tindakan PH Selangor hendaklah praktikal berdasarkan keputusan PH nasional dan tidak ada pengecualian terhadap PH negeri. Hal itu juga yang dimaksudkan melalui warkah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari.
“GAH juga sedang melihat secara berhati-hati kelicikan Azmin dan kartelnya berdepan sikap dan tindakan mereka yang sebenar terhadap PH,” sambung Zanirun merujuk kepada tuntutan GAH terhadap pentadbiran Azmin pada 31 Ogos 2017 lalu yang hanya 1/4 bahagian telah dipenuhi, iaitu menubuhkan sekretariat PH Selangor.
Katanya, kondisi tersebut masih mengekalkan persepsi GAH bahawa Azmin sekadar melepaskan batuk di tangga dan belum benar-benar memperlihatkan keikhlasan terhadap PH.
“Melengah-lengahkan tindakan mengusir PAS di mana mereka kini jelas mahu bersekongkol dengan Umno sebenarnya memburukan imej Azmin, Zuraidah dan kartel menghadapi PRU14.
“GAH memberi amaran bahawa kartel akan membawa politik yang lebih rumit dan kucar kacir menjelang PRU14 seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini,” katanya.
Kenyataan tersebut turut dikeluarkan oleh beberapa aktivis lain; Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail,
Lee Thian Soo dan Dr Maniam.
Lee Thian Soo dan Dr Maniam.