Nilai Ringgit lemah, rugi melabur di Amerika – Penganalisis
Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan cadangan PM Najib Razak mahu menggunakan dana awam dan KWSP untuk melabur di Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis ekonomi, Albert Kwok berpendapat pelaburan di AS ketika nilai ringgit lemah berbanding dolar adalah tidak berbaloi dan kurang menguntungkan.
Katanya, ekonomi Malaysia tidak sekuat seperti era pentadbiran Dr Mahathir – Anwar Ibrahim yang menyaksikan AS$1 bersamaan RM2.50. Nilai pelaburan Malaysia tinggi ketika itu berbanding sekarang, AS$1 bersamaan RM4.20.
Selain itu, katanya, ekonomi dalam negara juga lemah dan tidak wajar untuk menyokong ekonomi asing yang lebih kuat seperti AS.
“Bukti ekonomi yang lemah sudah ketara apabila harga minyak (RON 95) di pasaran tempatan asyik meningkat dan tidak mustahil ia akan mencecah RM3 seliter pada masa depan.
“Saya juga ingin bertanya adakah lawatan PM kita ke Amerika Syarikat dan Britain akan menambahkan lebih banyak modal pelaburan dari kedua-dua negara itu di Malaysia? Adakah hasil lawatan itu menguntungkan rakyat Malaysia? Apakah tujuan sebenar lawatan tersebut?” soalnya.
Lawatan Najib itu, menurutnya, agak aneh sifatnya, tidak sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin negara membangun lain yang berusaha keras menarik pelaburan dari AS, sebaliknya Najib menawarkan pula pelaburan kepada kuasa ekonomi nombor satu dunia itu.
“Nampaknya pihak yang dapat untung dalam lawatan itu ialah Amerika Syarikat dan bukannya Malaysia,” kata Albert katanya kepada Suara pakatan daily.
Sebaliknya, beliau berkata, realiti dalam negara pengilang sedang menghadapi kesukaran kerana harga bahan mentah yang dibeli di pasaran antarabangsa semakin mahal. Tidak kurang juga yang telah menutup perniagaan.
“Kalau lawatan tersebut dapat menguatkan nilai matawang Ringgit sampai RM3.00 untuk AS$1 ia bagus tetapi kalau harga bahan mentah yang diimport masih tinggi dan Amerika Syarikat tidak meningkatkan modal pelaburan di sini, saya kira lawatan tersebut adalah tidak penting untuk negara kita dan pada masa ini ramai usahawan tempatan pun mempunyai pemikiran yang sama dengan saya,” sinis beliau.