Keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz terima bantuan kewangan DAP Wilayah Persekutuan


KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Insiden malang yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiayah sehingga meragut 27 nyawa pagi semalam terus menggamit simpati dan tumpuan pelbagai pihak.
Insiden itu mendapat perhatian DAP Wilayah Persekutuan yang turun padang menziarahi lokasi kejadian dan keluarga mangsa yang terkorban.
Selain itu, DAP Wilayah Persekutuan juga turut menyediakan sumbangan kewangan kepada anggota keluarga mangsa berjumlah RM8,000 sebagai tanda simpati dan setiakawan.
“Kami sendiri tidak dapat menahan hiba melihat kesedihan yang ditanggung oleh ahli keluarga, mengetahui bahawa mangsa kesemuanya terperangkap dan tidak dapat dibantu melarikan diri akibat tingkap yang dipasang jeriji besi dan hanya satu laluan keluar masuk yang terkunci.
“Sebagai tanda simpati dan setiakawan kami, DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyediakan sejumlah RM8,000; untuk disumbangkan kepada anggota keluarga dan waris mangsa, dengan harapan ia dapat mendamaikan kebimbangan masing-masing dalam keadaan yang sangat mengharukan ini,” kata Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini.
Tragedi itu telah mneyebabkan sebahagian besar pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun maut akibat terperangkap dalam kebakaran.
“Kita percaya bahawa pihak berwajib akan memberikan perhatian penuh bagi menyiasat punca kebakaran serta punca kenapa mangsa tidak dapat diselamatkan, terutamanya dengan pendedahan awal bahawa premis tersebut tidak mempunyai lesen menududuki, selain diubah suai tanpa perakuan pihak bomba.
“Pun begitu, kami berharap seluruh ahli keluarga mangsa dan rakyat Malaysia dapat memberi ruang agar siasatan berlangsung dengan lancar.
“Kami juga berharap agar anggota keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan hati dan kesabaran untuk menerima ketentuan takdir, serta berdoa semoga roh anak-anak ini ditempatkan bersama para syuhada dan solehin,” katanya lagi.