Keluar PH: Pas angkuh letak syarat – PKR
Tindakan PAS meletakkan syarat supaya PKR keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu kedua-dua parti itu terus menjalin kerjasama politik dianggap tidak wajar.
Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, desakan itu dilihat tidak selari dengan matlamat PKR yang bersikap terbuka dengan semua parti pembangkang dan mahu setiap parti pembangkang membentuk kesatuan utuh, terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“PKR masih berpegang kepada pandangan semua parti pembangkang perlu ada kesatuan dan kita juga sedang berusaha ke arah itu.
“Semua orang boleh beri cadangan termasuk PAS, namun kami konsisten dengan pendirian Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, iaitu kesatuan semua pembangkang menjadi keutamaan kami,” katanya selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Selangor 2018 hari ini.
Beliau mengulas gesaan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari semalam yang parti Islam itu hanya membuka pintu rundingan kepada PKR, sekiranya PKR meninggalkan PH yang turut dianggotai DAP.
Sebelum ini, Anwar dalam suratnya mengakui beliau mengingatkan pemimpin PKR tidak memutuskan hubungan dengan PAS, selagi parti Islam itu bersedia meneruskan perbincangan.
Surat itu dilapor dikeluarkan susulan Majlis Presiden PH awal bulan lepas, bersetuju menolak sebarang kerjasama dengan PAS, termasuk membabitkan PRU14.