Jika logo tak lulus, Pakatan dikenali melalui ‘Team PH’
Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak menerima pendaftaran logo mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim ketika memberikan ucap utama di Konvensyen Amanah Selangor hari ini penuh keyakinan PH bersedia menghadapinya.
“Jika ditakdirkan kelulusan satu logo tidak diperolehi, saya berkeyakinan pimpinan PH akan mempunyai kaedah terbaik untuk kita menyertai pilihan raya sebagai satu team iaitu ‘Team PH’,” kata timbalan pengerusi PH Selangor itu dalam ucapannya.
Kata-katanya itu dipercayai menjawab persoalan pelbagai pihak apa yang akan dilakukan PH jika RoS gagal mendaftarkan logo mereka menjelang PRU14 nanti.
PH telah memfailkan permohonan kepada RoS 28 Julai lalu untuk mendaftarkan gabungan parti politik itu serta dengan logo mereka.
Bagaimanapun, RoS menolak cadangan logo PH dan meminta ia dibuat semula sesuai dengan spesifikasi yang dikehendakinya.
Seminggu selepas itu, PH telah menghantar beberapa logo baru menepati kehendak RoS itu. Namun sehingga kini pendaftaran itu belum diluluskan termasuk logonya.
Parti-parti komponen PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu bercadang untuk menggunakan satu logo dalam PRU14 nanti.
Ia sesuai dengan pandangan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, jika PH mahu menang lawan BN, mereka perlu gunakan satu logo, satu manisfesto dan satu calon bersama dalam pilihan raya nanti.