KUALA LUMPUR, 6 SEPT: DAP mengutuk serangan sekumpulan samseng, yang didakwa juak-juak kepada Ketua MIC Wilayah, Datuk M. Saravanan, terhadap petugas media.
Kekecohan yang tercetus di pejabat akhbar Tamil Malar Daily itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan laporan mengenai penyelewengan yang dilakukan Saravanan terhadap kutipan wang sewaan ke atas bangunan milik MIC Wilayah.
Sekurang-kurangnya dua petugas media termasuk pemilik akhbar berkenaan, Oms Thiagarajan dan pengurus besarnya cedera akibat dipukul oleh kumpulan samseng terbabit.
Kesal dengan peristiwa itu, Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran dalam kenyataannya menggesa agar tindakan drastik dan segera diambil bagi menangani insiden yang disifatkannya sebagai “serangan kejam terhadap pengamal media”.
“Saya dengan ini turut menggesa Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) agar mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap insiden yang melibatkan serangan fizikal ini,” katanya.
Barisan Nasional (BN) juga, katanya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, harus mengambil tindakan tegas terhadap Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan kerana memalukan nama partinya sendiri serta gabungan parti pemerintah itu.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata kekerasan fizikal terhadap wartawan dan pengamal media adalah tidak boleh diterima.
“Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, sama ada menggunakan “right of response” (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang,” kata Geramm dalam satu kenyataan.
Katanya lagi media mempunyai peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti politik.
“Tekanan oleh parti politik ke atas media, terutama jika melibatkan kekerasan fizikal, adalah sama sekali tidak boleh diterima.
“Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli,” ujar organisasi tersebut.