Zaid kritik pemimpin pembangkang terus berunding dengan Pas
Datuk Zaid Ibrahim menyeru umat Islam membebaskan pemikiran mereka daripada dibelenggu konsep beragama yang sempit, sambil menyelar usaha pihak tertentu untuk terus berdamping dengan PAS yang disifatkannya dalang perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Saya sedia maklum mengenai pemimpin pembangkang Melayu yang bercita-cita tinggi dan cuba melamar PAS, kerana ingin kekal berkuasa.
Mereka sanggup tidur sekatil dengan pihak yang menyebabkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan Melayu sejak 35 tahun lalu,” kata bekas menteri itu dalam penulisan blognya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dimaksudkannya.
Zaid menyeru umat Islam menyokong Amanah dalam usaha untuk “memerangi PAS habis-habisan”.
“Amanah perlu memberikan harapan kepada jutaan umat Islam bahawa Islam boleh kekal relevan dan menawarkan kepimpinan bersifat penyayang di negara ini,” katanya.
Amanah ditubuhkan 2 tahun lalu oleh sekumpulan pemimpin PAS yang tidak senang dengan perubahan dialami pucuk pimpinan parti yang konservatif dan dilihat lebih mesra Umno.
Zaid berkata pemimpin umat Islam di Malaysia terlalu asyik dengan soal hukum dalam berdepan pelbagai masalah sosial, dan tidak berminat mencari punca sebenar gejala seperti sumbang muhram dan kandungan luar nikah dalam kalangan penganut.
Menurutnya, reaksi pemimpin Islam dalam isu penamaan anak luar nikah baru-baru ini menunjukkan mereka tidak peduli realiti kehidupan susah yang terpaksa dilalui oleh mereka yang terlibat.
“Apakah mereka sudah fikir mendalam mengenai fatwa itu? Apakah mereka ambil kira kesan fatwa itu terhadap kehidupan orang?” soal Zaid.
Zaid juga berkata, pemimpin Islam gemar mengeluarkan pelbagai fatwa kerana ia sesuatu yang mudah, sebaliknya mencari punca sebenar sesuatu masalah tidak menjadi keutamaan.
“Mereka hanya mahu tampak berkuasa dan pandai dan juga menarik undi, sekiranya pengundi menganggap mereka dekat dengan Tuhan.
“Mereka enggan mengakui kepada dunia yang umat Islam berdepan masalah dadah yang serius. Mereka tidak mahu mengakui ramai penganut Islam mengamalkan seks rambang. Mereka tidak mahu memberitahu umat Islam mengenai sistem akhlak universal yang perlu dipatuhi manusia, sebaliknya mengenai pemahaman sempit mereka berkenaan Islam,” katanya.