Rundingan PKR – Pas: Tidak mahu parti hilang maruah – William
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen tidak peduli dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya selepas peletakan jawatan daripada biro politik PKR.
Beliau sudah menjangkakan tindakannya akan dikritik dan berkata pengkritiknya berhak mengemukakan pendapat.
“Saya telah buat keputusan, dan saya fikir apa yang berlaku sekarang ialah perkara itu menjadi perbincangan awam.
“Saya fikir perkara itu elok dibincangkan supaya kita tahu bagaimana perasaan orang bawahan,” kata William kepada FMT.
William semalam mengumumkan peletakan jawatan daripada biro politik PKR berikutan keputusan kepimpinan parti untuk cuba bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
William ketika ditanya berkata beliau setuju orang ramai akan melihat usaha PKR memujuk PAS seperti “mengemis”, yang akan memberi impak negatif kepada parti.
Beliau menambah orang ramai mungkin juga merasakan PKR sanggup menelan ego dan memiliki sikap rendah diri apabila mengekalkan polisi pintu terbuka demi rakyat.
Bagaimanapun, PAS tidak melihat cubaan PKR itu sebagai tanda merendah diri, katanya. Menurut William, PAS sebaliknya merasakan usaha PKR itu sebagai tanda kelemahan dan mengambil kesempatan daripada usaha itu.
“Jadi, anda perlu lindungi maruah parti dan orang yang bekerja untuk anda,” kata William, merujuk kepada PKR.
William menjelaskan alasan peletakan jawatan dalam suratnya, dan berharap pimpinan parti akan terima dengan minda terbuka.
“Kami telah memberi banyak masa kepada PAS tetapi mereka tidak memberi maklum balas.
“Nampaknya seperti tidak ada penyelesaian khusus mengenai bagaimana kami mahu pastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional,” katanya.
William menambah keadaan itu bukan lagi keputusan PKR semata-mata kerana ia juga akan memberi kesan kepada DAP, Amanah dan PPBM.
Beliau berkat masa semakin suntuk untuk mengadakan rundingan politik, dan PKR sepatutnya mempersiapkan diri untuk pertandingan 3 penjuru sekarang, bukannnya menunggu hingga saat akhir untuk membuat persiapan.
Pembantu William, Chua Wei Kiat berkata ahli Parlimen Selayang itu mendapat sokongan meluas daripada ahli akar umbi.
“Ramai ahli menyokong William. Mereka menganggap keputusannya sebagai tanda penghormatan,” kata Chua kepada FMT.
Chua menambah ahli akar umbi akan mengadakan sidang media pagi esok untuk menunjukkan sokongan kepada William di pejabatnya di Selayang Jaya.
Minggu lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kerjasama dengan PAS dalam penentuan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan hubungan.
“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya dalam laporan media.
Pada Mei, PAS memutuskan hubungan dengan PKR, selepas hampir 2 dekad kerjasama dengan parti reformasi itu, selepas menuduh PKR melanggar syarat kerjasama.