PRU 14: Umno mungkin hilang 30 kerusi parlimen – Penganalisis
ULASAN: Semasa bercakap mengenai keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa lalu, kita biasanya akan melihat Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, apabila Umno menghadapi perpecahan politik yang dahsyat, perlu kita ambil contoh keputusan PRU lalu yang melibatkan Umno untuk penilaian lanjut.
Setiap kali Umno menghadapi perpecahan politik serius, undi Melayu mereka akan turun dan kerusi Parlimen mereka akan berkurangan.
Sebelum PRU 1990, Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dr Mahathir Mohamad dan berpisah daripada Umno untuk membentuk parti Semangat 46. Hasilnya, kerusi parlimen yang dimenangi oleh Umno ketika itu jatuh sebanyak 12 kerusi, daripada 83 kerusi pada PRU 1986 menjadi 71 kerusi pada tahun 1990.
Sebelum PRU 1999, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara kejam dianiaya, yang membawa kepada pergerakan politik Reformasi, oleh itu para pemimpin parti dan pengikut serta aktivis masyarakat sivil bergandingan tangan membentuk parti baharu, Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Hasilnya, kerusi parlimen yang dimenangi oleh Umno jatuh sebanyak 17 kerusi, daripada 89 kerusi pada 1995 menjadi 72 kerusi pada tahun 1999.
Kemudian, pada 3 Ogos 2003, Parti Keadilan Nasional secara rasminya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Semasa kedua-dua perpecahan politik yang disebutkan di atas, Mahathir adalah Presiden Umno dan juga Perdana Menteri. Kali ini, Mahathir adalah bekas presiden Umno dan bekas Perdana Menteri. Dr Mahathir membentuk parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau BERSATU) .
Dalam pilihan raya akan datang, berapakah kerusi parlimen yang akan terlepas dari tangan Umno?
Dua senario kehilangan kerusi Umno
Senario pertama. Umno kehilangan 15 hingga 20 kerusi, daripada 88 kerusi yang diperolehi dalam PRU13. Oleh itu, Umno hanya akan mendapat 68 hingga 73 kerusi.
Senario ini mengandaikan bahawa setiap “perpecahan perit” yang dihadapi Umno, ianya akan mengakibatkan perpecahan yang lebih teruk daripada sebelumnya dan diterjemahkan ke dalam satu bentuk keputusan pilihan raya. Ini bermakna prestasi Umno pada PRU1999 berbanding 1995 lebih teruk daripada keputusan PRU 1990 berbanding 1986.
Berdasarkan ini, keputusan akan lebih buruk dalam PRU14 berbanding PRU13.
Senario kedua. Umno akan hilang sejumlah besar kerusi di antara 25 hingga 30 kerusi. Jika ini berlaku, Umno hanya akan memperolehi 58 hingga 63 kerusi.
Senario ini memandangkan hakikat bekas pemimpin Umno biasanya mengetuai gabungan pakatan pembangkang untuk mencabar Umno, ranking tertinggi ialah bekas Timbalan Perdana Menteri. Namun pada pusingan ini, Mahathir adalah bekas Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun, dan dua pilihan raya sebelum ini – PRU12 (2008) dan PRU13 (2013) – telah berjaya mengubah landskap politik, memecahkan sistem dominan BN yang mutlak.
BN sukar selamatkan Umno
Berdasarkan senario ini, selain daripada Umno yang menunjukkan kehilangan kerusi parlimen, keputusan keseluruhan BN dalam PRU14 tidak akan mengulangi keadaan PRU10 (1999) di mana “pengundi Melayu menentang tetapi pengundi bukan Melayu tidak menentang” , atau keputusan di mana “BN menyelamatkan Umno”.
Pada tahun 1990 dan PRU 1999, walaupun Umno menghadapi perpecahan, sistem dominan satu pihak tidak dicairkan. Hari ini, selepas mengalami perubahan landskap politik melalui PRU 2008 dan 2013, sistem dominan satu pihak telah luntur. Berdasarkan faktor ini, kali ini tidak akan wujud situasi “BN menyelamatkan Umno”.
Undi etnik Cina dan India
Marilah kita melihat undi etnik Cina. Undian Cina kepada BN pada tahun 2008 menurun sebanyak 30%, dan semakin teruk pada tahun 2013 di mana ia terus menurun sebanyak 22%. Pada asasnya, undi Cina BN telah jatuh ke tahap terendah. Dalam PRU14, kita akan menjangkakan peningkatan dalam undi kaum Cina kepada BN.
Sekiranya BN memperolehi tambahan undi Cina sebanyak 5% hingga 10%, ia tidak mencukupi untuk menyelamatkan Umno. Pada sisi lain, walaupun Pakatan Harapan bertarung dengan agresif untuk undi Melayu, mereka juga perlu menguruskan kehilangan undi Cina, dan juga peratusan undi yang diperoleh kembali oleh BN.
Manakala Pakatan Harapan dijangka mendapat undi rendah daripada etnik India. Selepas BN kehilangan undi India pada tahun 2008 sebanyak kira-kira 49%, mereka telah memperoleh semula 10% pada tahun 2013.
Menurut peta pilihan raya pada tahun 2013, terdapat 60 kerusi parlimen dengan lebih daripada 10% pengundi India, di mana 52 kerusi mempunyai 10% hingga 20%, dan 8 kerusi yang lain mempunyai 21% hingga 30%. Walaupun pada PRU 2013 keputusan Pakatan Rakyat hanya mempunyai 10 Ahli Parlimen India namun terdapat 60 kerusi lain mempunyai lebih daripada 10% kaum India.
Daripada 60 kerusi, selain daripada 10 kerusi dengan Ahli Parlimen India, Pakatan Rakyat juga mempunyai 28 kerusi dengan anggota parlimen bukan India, yang dibantu oleh undi kaum India. Untuk mengelakkan situasi “BN menyelamatkan Umno” daripada berlaku dalam PRU14, Pakatan Harapan harus lebih berusaha menangani keperluan masyarakat India dan isu-isu mereka yang membimbangkan, dan mencadangkan dasar yang berkesan untuknya.
PH jangan lalai
Masyarakat India mempunyai perkadaran tinggi kelas menengah rendah dan keluarga kelas bawahan, dan mereka juga berada di bawah tekanan harga barang yang tinggi serta kos sara hidup melambung dalam era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ini. Selain itu, ramai di antara mereka yang mengalami masalah sukar mendapatkan gaji mencukupi dan ramai yang menganggur.
Jika kita hanya memberi tumpuan kepada 30 kerusi dengan lebih daripada 50% pengundi Cina, dan berada dalam khayalan mengendalikan aliran balik undi Cina, memikirkan cukup hanya menunggu undi protes serpihan Umno bagi mendapatkan hasil yang baik, kita takut BN akan mendapat lebih banyak undi kaum India dalam PRU14.
Sekiranya Pakatan Harapan mengharapkan situasi yang sama seperti BN dipukul oleh HINDRAF pada PRU 2008, dalam pilihan raya akan datang, Pakatan Harapan mungkin akan dilanggar secara senyap oleh masyarakat India. Persoalannya, bolehkah golongan elit politik dalam zon selesa merasakan pergerakan di dalam kumpulan yang terpinggir ini?
_____________________________________________________________________________
Artikel ini ditulis oleh Ooi Heng, Pengarah Eksekutif badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) bersama Elijah dan Yasmin sebagai rakan sekutu