Pas tidak minat lawan BN, mengapa perlu berkerjasama? – GAH
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) menentang sebarang usaha unilateral pimpinan PKR untuk bekerjasama dengan Pas.
Jurucakapnya, Zanirun Baba berkata, kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali bahawa PKR sedang berbincang dengan Pas adalah janggal dan seolah-olah membelakangkan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Pas tidak lagi mempunyai minat mewakili rakyat melawan keangkuhan BN, jadi sebarang kerjasama dengan parti itu adalah usaha yang sia-sia.
“GAH berpendirian kerjasama itu tidak mempunyai apa-apa makna memandangkan PAS terang-terangan memusuhi PKR secara rasmi melalui muktamar (memutuskan hubungan).
“Apakah PAS sudah tidak punyai maruah mahu menjilat atau menidakan keputusan muktamar dan masjlis syura ulama mereka sebelum ini?
“Usaha Azmin ini sia-sia dan tidak ubah untuk memastikan kerusi beliau selamat agar tidak dicabar oleh PAS dalam PRU akan datang.
“Jika Azmin begitu berminat untuk mengagihkan kerusi bersama PAS, caturlah dengan kerusi PKR sendiri dan bukan menjual nama PH.
“GAH menasihatkan agar Pengarah Pilihanraya PH ini tidak teruja sangat untuk mencaturkan keadaan politik melebih sudu dari kuah, iaitu di luar kapasiti beliau. Fokuslah terhadap membina kekuatan PH di negeri beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media.