Lebih 50 ribu pengundi dalam Parlimen Parit Buntar hanya dapat menggigit jari menanti siapnya pembinaan Hospital Parit Buntar yang dijanjikan oleh BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lagi.
Kini setelah hampir pilihan raya umum ke-14 apa yang dijanjikan oleh BN masih belum menjadi realiti.
Malah ini merupakan 'game' biasa bagi BN untuk meraih sokongan pengundi menjelangnya Pilihan Raya Umum.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menzahirkan kekecewaan tersebut ketika ditemui selepas program ceramah Pakatan Harapan di Pekan Tanjong Piandang, Parit Buntar kelmarin.
Jelas beliau lagi, BN telah menzahirkan janji-janji tersebut pada pilihan raya umum tahun 2008 lagi.
Ia kemudian dijanjikan lagi oleh pimpinan BN sehinggalah kini dengan pelbagai kemudahan yang akan dibina, tapi semuanya auta belaka.
"Sejak zaman Datuk Tajol Rosli menjadi MB Perak lagi mereka dah janji nak bina hospital tersebut.
"Ketiadaan hospital tersebut amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa mendapatkan rawatan pakar dari Hospital Pulau Pinang dan Hospital Taiping yang jaraknya amat jauh.
"Ini juga menelan kos yang besar termasuk masa perjalanan yang memakan masa yang begitu lama, " jelasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden, Parti Amanah Negara turut berkata, permainan politik yang dimainkan oleh BN sebegini akan hanya memakan diri mereka sendiri.
"Mereka janji dan janji dari setahun hingga setahun. Dari pilihan raya 2008 sehinggalah ke pilihan raya 2013.
"Kemudian mereka janji lagi sehinggalah ke pilihan raya ke-14, tapi apa yang mereka janjikan hanyalah pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat bagi mendapatkan kemudahan tersebut, " tegasnya lagi.
Katanya lagi, sukar untuk BN mengotakan janji-janji mereka kerana ketirisan yang melampau dibawah kepimpinan Najib ketika ini.
Adalah difahamkan pembinaan hospital yang mempunyai 76 katil itu akan dibina diatas kawasan seluas 21 hektar.
Ia juga akan dilengkapi dengan wad bersalin, bilik pembedahan, ortopedik, pediatrik serta rawatan pesakit luar dan haemodialisis.
Namun begitu kegagalan mewujudkan hospital yang telah dilaung-laungkan selama hampir 10 tahun tersebut akan dilaungkan sekali lagi menjelang pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi.
Justeru itu katanya, bukan saja pengundi dalam kawasan Parlimen Parit Buntar yang harus menolak Umno dan BN, sebaliknya semua rakyat dalam negara ini wajib memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menerajui kepimpinan dalam pilihan raya umum nanti.