Kerajaan Kelantan tak serius tuntut royalti, ubah kepada PH
Pertubuhan R (Royalti) Malaysia menyifatkan kesunguhan Pakatan Harapan lebih menyerlah dalam tuntutan royalti sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran petroleum yang dijalankan oleh Petronas.
Pengasasnya, Syam Ghaz berkata, hal tersebut berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan pada masa ini yang tidak lagi memperjuangkan hak tersebut seperti pada era pentadbiran Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
“Pakatan Harapan (tanpa Pas) sudah isytihar, jika dapat memerintah Malaysia, royalti lima peratus akan diberikan kepada Kerajaan Kelantan setiap tahun.
“Saya yakin dengan keupayaan Datuk Husam Musa yang pernah terbukti bersama-sama arwah Tok Guru Nik Aziz perjuangkan isu royalti sebelum ini, berbanding dengan Exco-exco Pas yang ada sekarang,” ujarnya.
Beliau berkata, bekas Menteri Besar Kelantan berkenaan amat ketara mempunyai gerak kerja yang berterusan dalam menuntut royalti tersebut.
“Beliau sendiri hari-hari bercakap pasal royalti, ceramah, munajat, solat hajat, kenyataan media dan lain-lain. Hingga setiap minggu dari 2009 hingga 2013 ada kenyataan berkaitan royalti Kelantan di media.
“Berbanding dengan kerajaan sekarang waktu Datuk Ahmad Yaakob dan Exco-exco adakah kita boleh tengok mereka buat kerja seperti arwah Tok Guru Nik Aziz dulu? Jawapannya, tidak,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Mengulas jumlah hutang kerajaan negeri Kelantan yang tinggi mencecah RM1.428 bilion, beliau berkata, kerajaan negeri seolah-olah menganggap tuntutan royalti tidak lagi penting.
“Seperti tidak nampak langsung kepentingan royalti untuk sumber pendapatan utama di Kelantan pada masa depan, hingga seperti terpaksa berlutut untuk berhutang dan buntu mencari sumber pendapatan lain,” bidasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang bagi mencapai matlamat tuntutan tersebut.
“Ayuh kita menangkan PH (Pakatan Harapan) dan berjuang isu #Royalti dalam konteks Pakatan Harapan, yang lebih ke depan dan telus dalam isu ini,” tambahnya lagi.