HARAPAN akan menang PRU14, Kit Siang dedah formula-Siaran ulangan untuk kita yakin kemenangan



KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) berpotensi besar untuk memenangi majoriti kerusi parlimen serta mempertahan dan memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum akan datang melalui formula ‘10 dan 5 peratus’.
Formula itu kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang boleh berjaya meskipun jika PAS bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menyebabkan pertembungan kerusi.
“Tsunami rakyat Malaysia ini akan berlaku jika 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu mengubah undi mereka daripada Barisan Nasional (BN) kepada HARAPAN dalam keadaan pengundi jelas membezakan HARAPAN dan PAS.
“Dalam keadaan ini, meskipun PAS bertindak sebagai ‘penganggu’, HARAPAN bukan sahaja akan memenangi majoriti kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia malah akan berjaya mentadbir Perak, Negeri Sembilan dan Johor serta terus mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam senario ini, 10 peratus pengundi PAS dan beberapa peratus pengundi bukan Melayu telah pun diambil kira ujarnya.
Berdasarkan formula itu, bagi negeri Perak; BN dijangka hanya mempertahankan 20 kerusi (34%) manakala HARAPAN memenangi 39 kerusi (66%) Dewan Undangan Negeri (DUN).
Negeri Sembilan pula bakal memperlihatkan BN memenangi 17 kerusi (47%) didahului HARAPAN dengan 19 kerusi (53%).
Johor pula dijangka menyaksikan BN kecundang dengan hanya 20 kerusi (35%) manakala HARAPAN muncul juara dengan kelebihan 36 kerusi (65%).
Di Pulau Pinang, BN diramal hanya berjaya mempertahankan 3 kerusi (7%) manakala HARAPAN pula memenangi 37 kerusi (93%).
Bagi Selangor, BN dijangka mengalami kemerosotan dengan 6 kerusi (11%) manakala HARAPAN pula mencatatkan peningkatan kemenangan sebanyak 50 kerusi (89%).
Menurutnya lagi, kemenangan HARAPAN di peringkat Persekutuan dan Negeri akan memberi kesan kepada transformasi pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor menjadi contoh terbaik dalam tempoh lapan tahun pentadbiran pakatan yang telah menerajui pembaharuan dan mempraktikkan urus tadbir yang baik,” katanya lagi.