Hadi Awang harus utamakan kepimpinan berintegriti bukannya perkauman


1. Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyarankan bahawa Melayu Islam perlu menjadi tunggak kepimpinan negara dilihat sebagai suatu kenyataan yang berbaur perkauman kerana meletakkan syarat tersebut sahaja semata-semata tanpa menghuraikan sifat yang perlu ada pada seseorang pemimpin yang harus dipilih rakyat.
2. Walaupun Datuk Seri Abdul Hadi telah menghuraikan nas-nas al-Quran di bahagian awal kenyataan tersebut dengan baik dan betul, namun pemakaian nas-nas tersebut kepada ekosistem politik Malaysia di bahagian kedua kenyataan tersebut dianggap kurang tepat dan longgar. Ini adalah kerana nas-nas tersebut tidak mewajibkan umat manusia memilih pemimpin berdasarkan kaum, sedangkan nas al-Quran menekankan pemilihan pemimpin berasaskan dua faktor iaitu kemampuan dan amanah. Firman Allah SWT di surah al-Qasas:26:
“Sesungguhnya sebaik orang yang engkau ambil untuk bekerja ialah orang yang al-qawiy (berkemampuan) dan al-amin (amanah)”.
3. Tugas hakiki seorang pemimpin adalah menguruskan negara untuk kepentingan rakyat dan oleh itu, khidmat yang ditagih daripada seorang pemimpin perlu bertunggakkan prinsip kemampuan dan amanah. Apabila ditelusuri kepimpinan negara yang ada pada hari ini, tidaklah mereka berkemampuan dan amanah apabila wang negara diuruskan dengan salah sehingga terpalit dengan pelbagai skandal korupsi seperti 1MDB, Felda dan bermacam lagi yang akhirnya menekan hidup rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup.
4. Demografi negara ini yang berlatarbelakangkan kemajmukan kaum dan struktur pentadbiran negara bertunjangkan demokrasi beperlembagaan menuntut perkongsian kuasa di antara kaum agar kestabilan pentadbiran negara dan kehidupan rakyat sentiasa dilestarikan. Amalan perkongsian kuasa ini telah kita warisi sejak merdeka dan perlu diteruskan. Begitulah struktur kepimpinan yang ada pada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Melayu Islam tanpa mengetepikan prinsip perkongsian kuasa dengan kaum lain. Namun, garis pemisah antara kedua-dua koalisi ini haruslah dinilai atas premis kemampuan dan amanah.
5. Acap kali rakyat Malaysia bukan Islam diberi amaran oleh pemimpin politik dan institusi awam Islam supaya menjaga sensitiviti orang Islam dan begitu juga orang Islam disaran menjaga sensitiviti orang bukan Islam. Inilah prinsip rukun negara kelima yang diterapkan kepada semua rakyat Malaysia selama ini.
6. Tetapi, apabila diteliti hujah Datuk Seri Abdul Hadi dalam kenyataan tersebut yang mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung perasaan rakyat Malaysia bukan Islam, ia menimbulkan kerisauan. Malah, hujah beliau yang menyiratkan perhubungan diantara orang Islam dan bukan Islam adalah bersamaan dengan perhubungan Tuan dan Hamba dalam konteks Malaysia adalah sesuatu yang wajib diperbetulkan supaya tidak menimbulkan persepsi negatif kepada Islam yang bersifat ‘rahmatan lil a’lamin’.
7. Malaysia adalah sebuah ‘Nation State’ yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal-hal duniawi, kemasyarakatan, sosial, politik dan ekonomi, Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi kepada kesemua warganegaranya. Pada waktu yang sama, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu kontrak sosial rakyat Malaysia yang mengikat kesemua rakyat sebagai warga sebuah negara berdaulat tanpa mengira agama dan keturunan. Di samping mengiktiraf kedudukan istimewa rakyat berketurunan Melayu, rakyat bukan Melayu tetap rakyat tulen berhak saksama. Tidak sepatutnya timbul ketuanan mana mana kumpulan keturunan mahupun agama ke atas yang lain.
8. Namun begitu, kedudukan orang Melayu Islam sebagai ketua negara sudah termaktub sebagai konvensyen dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada pertikaian mengenainya. Jika Datuk Seri Abdul Hadi mahu membawa hujah-hujah agama dan sejarah, kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia sudah pun selari dengan apa yang dimahukan. Justeru, adalah tidak sihat bagi kestabilan negara untuk membangkitkan lagi perkara-perkara sebegini. Tiada apa-apa bukti bagi menjustifikasikan wujudnya ancaman kepada Melayu dan Islam di negara ini kecuali salah urus tadbir kerajaan yang memerintah hari ini.
9. Kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara tidak bergantung hanya kepada siapa yang memerintah, sebaliknya bagaimana negara diperintah. Apa yang perlu ditekankan adalah integriti, amanah, urus tadbir yang baik, bersih dari korupsi dan trasparensi. Faktor agama pemerintah itu ditekankan adalah supaya integriti terjamin dan nilai murni agama diserap ke dalam pemerintahan.
10. Kami menegaskan bahawa sentimen perkauman sempit tidak seharusnya dijadikan alat memerangkap rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 ini. Sedangkan Rasulullah SAW mencegah perjuangan atas nama assabiyyah (perkauman) sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud “Sesiapa yang berperang di bawah bendera assabiyyah, menyeru kepada assabiyyah dan membantu assabiyyah, maka ia mati dalam jahiliyyah.” (HR Muslim)
11. Justeru, pemimpin yang berintegriti yang harus dijulang rakyat. Negara pernah diurus tadbir dengan baik dan amanah oleh Tun HS Lee dan Tun Tan Siew Sin walaupun mereka bukan daripada kalangan orang Melayu. Oleh itu, Pemuda Pakatan Harapan menyeru agar rakyat mengangkat pemimpin yang berpegang kepada prinsip integriti dalam memulihkan semula pentadbiran negara yang korup dan zalim. Maka, dalam konteks ini, persoalan yang timbul adakah Datuk Seri Abdul Hadi berpegang kepada prinsip integriti apabila beliau gagal menentang korupsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB?
12. Kami menegaskan bahawa Pakatan Harapan tetap teguh mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati hak dan kebebasan agama lain. Hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan diperkasakan sekiranya pemimpin yang dipilih mempunyai kemampuan dan sikap amanah. Melaungkan slogan Melayu tidak selamat tanpa Islam akan tinggal slogan retorik sekiranya kepimpinan negara tidak didasari prinsip berkemampuan dan amanah dalam melaksanakan urus tadbir negara. Mengambil iktibar kata-kata Saidina Ali “Satu slogan yang benar tetapi dengan tujuan yang bathil”, kami menegaskan setiap slogan perlu dibuat dengan jujur.
13. Kami menyeru rakyat tidak terperangkap dengan slogan-slogan retorik yang sedang dimainkan oleh UMNO dan PAS kononnya Melayu menjadi bangsat tanpa UMNO dan Islam akan lenyap tanpa PAS. Sedangkan integriti pentadbiran kerajaan yang dipimpin UMNO dan PAS kini menjadi persoalan umum.
14. Kerajaan pimpinan UMNO sememangnya sudah terpalit dengan pelbagai skandal korupsi sehingga menggadaikan institusi dana awam milik Melayu Islam seperti MARA dan Tabung Haji. Sementara pentadbiran PAS di Kelantan kini juga dipertikaikan rakyat Kelantan dengan pelbagai isu seperti projek carbon credit, tunggakan caruman guru-guru agama oleh Yayasan Islam Kelantan sebanyak RM14.6 juta dan isu pembalakan haram yang berleluasa sehingga mendiskriminasikan penempatan orang asal.
15. Pemuda Pakatan Harapan menegaskan bahawa Melayu dan Islam yang membentuk struktur asas Perlembagaan akan terus dipertahankan dan diperkasakan sekiranya Pakatan Harapan diberikan kepercayaan menerajui Putrajaya. Integriti yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Harapan akan meletakkan semula negara di landasan yang betul.
*Kenyataan ini dikeluarkan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; Setiausaha Biro Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK); dan Ketua Penerangan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA), Ulya Aqamah Husamudin.