“Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata,” bait WS Rendra yang terpahat sejak tahun 1984 ini kekal relevan sehingga sekarang dan mungkin itu secara tak langsung menjadi titik mula terjerumusnya anak muda berusia 24 tahun ini dalam gelanggang ‘orang tua-tua’.
Kehadirannya mewarnai siasah pembangkang bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukanlah aneh. Malah tindakan ‘U-Turn’ Tun Mahathir menyertai blok pembangkang juga bukanlah perkara mukjizat yang perlu dihairankan sungguh, ia mengujakan!
Di kesempatan Roketkini bertemu Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di pejabat PPBM, kami sempat bersembang beberapa hal menerobos sudut pandang dan fikrah siasah anak kelahiran Johor ini.
Anak muda dan politik bukan hal yang baru kata Saddiq, menurutnya, negara telah menyaksikan beberapa fasa kebangkitan golongan muda sebermula era kebangkitan pelajar tahun 70-80an, zaman reformasi 98 dan semakin ketara ketika dunia memasui milenia akibat tekanan ekonomi dan politik yang semakin ketara.
Bagaimana pun soal saya, riak gelombang dan kesedaran anak muda yang berlaku di Malaysia saat ini seolah-olah didorong oleh tokoh dan bukannya idealisme.
“Ya. Kita lihat Tun (Mahathir) salah satu sebab orang muda lebih terbuka kepada politik sekarang, tapi kita lihat kesedaran anak muda sendiri main peranan.
“Cuma ini masalah icon based. Contohnya, sekarang Tun, sebelum ni Datuk Seri Anwar. Bukan di Malaysia saja, dulu ada Malcom X misalnya, banyak contoh. Mungkin disebabkan ideologi lebih sukar berbanding peribadi seseroang,” jelasnya.
Namun, kehadiran tokoh yang menjadi sanjungan sebagai ‘pencetus’ idealisme ini katanya mampu menggerakkan ‘rasionalisasi’ pemikiran seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang masih ‘dijajah’ mentaliti feudalisme.
“Memang kita kena bebaskan orang melayu daripada persepsi feudalisme yang dibawa oleh UMNO. Jadi untuk itu kena ada kebangkitan dari golongan Melayu baharu.
“Orang Melayu tahu pemimpinnya rasuah, tapi dia kata: kita tau pemimpin rasuah tapi kita tak mau bangsa lain naik… Jadi akhirnya, kita perlu perjuangan baharu untuk bebaskan Melayu dari tangan UMNO,” katanya.
Untuk mengubah kepercayaan karut kononnya ‘UMNO adalah segala-galanya’ kepada orang Melayu meskipun telah rosak dan terpalit dengan segala jenis rasuah dan penyelewengan, PPBM menawarkan sesuatu yang bermaruah kata Saddiq.
“Sebab itu kita gunakan slogan ‘Melayu bermaruah’. Bukan maksudnya kita nak bahagikan Melayu tidak!
“Jadi melayu bermaruah ini merupakan perjuangan, kebangkitan baru untuk pecahkan tembok yang telah dibina UMNO selama ini,” katanya.
‘U-Tun’?
Kemunculan semula bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam platform siasah pembangkang menimbulkan sedikit sebanyak keraguan kepada aktivis politik khususnya bagi mereka yang aktif dalam gerakan reformasi sejak tahun 1998.
Meski ramai yang menyokong, ada suara beranggapan ‘U-turn’ Tun Mahathir itu sebagai tidak ikhlas demi kepentingan peribadi dan ‘kaum-kerabatnya’.
Bagi Syed Saddiq, walaupun ada beberapa perkara yang apa yang dilakukan Tun Mahathir semata-mata untuk memperbetulkan semula institusi demokratik negara ini yang telah rosak.
“Katakanlah Tun memang (niat) jahat, dia permainkan parti-parti (pembangkang) termasuk saya. Dah menang, dia berubah tiba-tiba misalnya. Tapi kita kena tanya (diri sendiri), ada dua perkara perlu kita beri tumpuan. Berapa umur Tun?- 92 tahun. Adakah kita rasa selepas tu beliau akan buat ‘u-turn’ lagi? Sangat susah!
“Dia sendiri tahu bahawa ini ialah pertarungan terakhir (final push). Dia selalu tekankan, dia beritahu saya dari hati ke hati, ‘Saddiq, saya akan pergi (meninggal dunia), tapi sebelum saya pergi, saya mahu lihat negara ni kembali ke landasan sebenar’.
“Dia (Tun) tak nak pergi dengan keadaan negara yang macam sekarang. Itu perkara terakhir dia nak tengok,” katanya
Lim Kit Siang bukan syaitan rupanya
Sebaik soalan tentang pandangannya terhadap DAP dilontarkan, Syed Saddiq tersenyum sambil mengangguk. Dia tidak dapat menafikan memang wujud prejudis terhadap DAP sejak bersekolah malah pernah menganggap pemimpin utamanya, Lim Kit Siang sebagai ‘syaitan’.
“Pada peringkat awal, memang tengok Lim Kit Siang ini adalah ‘syaitan’. Sebab dari kecil (zaman sekolah), dapat SMS yang kata Kit Siang nak ambil Johor sebab nak jual kepada Singapura lah, agen PAP lah, dialah penyebab kesusuahan, dialah penyebab rusuhan 1969,” katanya.
Namun, segala persepsi buruk itu sekadar gambaran tidak benar.
“Saya lihat dia sangat Malaysian centric. Dan sampai sekarang walaupun sudah berusia, masih berjuang. Saya rasa kalau orang kata oh dia dah tua, dia patut bersara, tapi dia masih berjuang dan masa ini juga ramai anak-anak muda sertai parti,” ujarnya.
Ketika menjadi salah seorang penyelidik untuk mencari ‘kejahatan’ Lim Kit Siang dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13, beliau mendapati peribadi Kit Siang bukanlah sebagaimana yang disangka.
“Sebelum tu, Pakatan Rakyat, kita dapat tengok dia (Kit Siang) bergerak dari satu kerusi ke satu kerusi, tak adalah nampak gila jawatan.
“Tapi sebelum tu, memang saya dah maklum, Kit Siang memang telah dihulur jawatan sebagai menteri pada 1970, tapi dia tolak. Banyak juga jawatan menteri-menteri kanan (ditawar) tapi tolak jugak, begitu juga dalam tahun 1990an, tetap ditolak (jawatan)” kata Saddiq.
Menurut Saddiq, DAP merupakan parti yang berprinsip namun bleh berkompromi serta bukanlah parti ideologi membuta-tuli.
HARAPAN mampu lakar sejarah
Ditanya mengenai prestasi PPBM pula, Saddiq mengatakan penubuhan parti itu telah mencetuskan gelombang yang menggerunkan UMNO khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau menceritakan suasana yang berlaku dalam siri jelajah Semarak di seluruh negara. Suasana tersebut jelasnya jauh berbeza sewaktu ceramah Pakatan Rakyat pada PRU-13 sebelum ini.
Beliau menceritakan suasana yang berlaku dalam siri jelajah Semarak di seluruh negara. Suasana tersebut jelasnya jauh berbeza sewaktu ceramah Pakatan Rakyat pada PRU-13 sebelum ini.
“Dalam jelajah Semarak, sambutan sangat-sangat-sangat baik sepertimana di Pahang dan Johor.
“Di Kota Tinggi saya dapat pengalaman yang unik di salah satu felda. Masa (program ceramah) PR dahulu tahun 2013, seingat saya Datuk Seri Anwar tak turun tapi yang turun beberapa tokoh-tokoh utama PR ke seperti Haji Mat Sabu, Sallahudin Ayub, hadirin tak lebih 100 orang, khemah ada empat, yang penuh satu khemah sahaja seingat saya.
“Sekarang di Kota Tinggi. UMNO mennag 5,000 undi. Di kawasan sama Tun turun, dewan penuh dalam 2,000 orang; di luar pasang skrin ada dalam 1,000 hingga 2,000 orang lagi. Kota Tinggi kubu UMNO dan tak pernah berlaku fenomena semacam ni,” katanya.
Suasana yang berlaku di kawasan kubu UMNO khususnya luar bandar terhadap program PPBM boleh menjadi kayu ukur untuk perubahan yang bakal berlaku dalam pilihan raya hadapan.
Suasana yang berlaku di kawasan kubu UMNO khususnya luar bandar terhadap program PPBM boleh menjadi kayu ukur untuk perubahan yang bakal berlaku dalam pilihan raya hadapan.
“Bagi saya kali pilihanraya kali ini ialah ibu kepada pilihanraya. Kita perlu menang untuk buat perubahan.
“Jangan takut jangan gentar. Berani kerana benar. Perjuangan masa ini bukan satu pelabuhan panjang. Mungkin ada rindangan-rintangan diletak dihadapan kita – tapi kalau kita bersatu memecahkan tembok ini, kita akan bersama dan bersatu dalam mencorakkan masa depan negara 20-30 tahun akan datang,” katanya.