UMNO Pahang kepanasan, anjur pesta ‘ganggu’ program Tun Mahathir?


TEMERLOH, 30  JUL: Bagi mengekang kehadiran rakyat ke program HARAPAN, ada pihak tertentu dilihat cuba ‘mensabotaj’ program Tun Mahathir dengan menganjurkan pesta dan konsert hiburan.
Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah berkata, program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Temerloh malam ini (28 Julai 2017), bertembung dengan Temerloh Fest yang turut bermula pada tarikh yang sama.
Tengku Zulpuri, Adun Mentakab, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang
“Kehadiran Tun Dr Mahathir bersama pimpinan tertinggi PPBM ke Temerloh malam ini membuat pemimpin tertinggi UMNO kepanasan dan tak senang duduk.
“Ada perancangan pihak tertentu cuba mengadakan pesta dan konsert pada tarikh yang sama bagi menghalangan golongan muda untuk hadir malam ini mendengar amanat PPBM di Dataran Taman Cengal yang berhampiran pejabat Amanah,” kata Tengku Zul kepada Roketkini.
Kegelisahan pemimpin UMNO terhadap senario politik Pahang mutakhir ini kata Adun Mentakab itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi.
Salah seorang pemimpin UMNO Pahang yang amat tidak senang dengan kehadiran Tun Mahathir di Temerloh malam ini ujarnnya ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Penduduk kampung, termasuk di Felda senang dengan kehadiran Tun Mahathir. Itu telah menyebabkan kerusi Bera yang menjadi kubu UMNO selama ini semakin goyah.
Dalam perkara berkaitan, Tengku Zulpuri berkata, pengukuhan Pakatan Harapan dengan penyertaan PPBM memang sedang memberi kesan besar kepada UMNO kehilangan penyokong khususnya di kawasan luar bandar.
“Lebih-lebih lagi UMNO-BN semakin goyang apabila terpaksa berdepan dengan banyak persoalan dan skandal seperti isu FGV, 1MDB, kapal selam, pembunuhan Altantuya yang hanya tunggu masa ‘meletus’,” katanya.
“Sudah ada angin bertiup kencang di Pahang mahu Najib digantikan dengan pemimpim lain sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan dan mereka sendiri tidak yakin Barisan Nasional (BN) – UMNO boleh bertahan,” katanya lagi.