Sedarlah BN, DAP bukan lagi isu – Penganalisis
Sejak terbentuknya organisasi Pakatan Harapan, BN panik dan cuba mengalihkan isu penyatuan dalam gerakan pembangkang kepada isu pendaftaran DAP, ketiadaan pemimpin DAP memegang jawatan utama dan mengingatkan orang Melayu DAP akan menguasai kerajaan baharu yang akan dibentuk di Putrajaya.
Penganalisis ekonomi Albert Kwok mempersoalkan pengalihan isu sedemikian. Beliau menyifatkan taktik BN itu amat terdesak kerana struktur PH jelas tidak memungkinkan DAP menguasai jawatan utama pentadbiran Putrajaya. Sebaliknya, kata beliau, skandal 1MDB telah amat menusuk hidung rakyat Malaysia, terlalu busuk dan tidak boleh ditutup lagi.
“Para pemimpin BN telah ‘lupa’ bahawa imej negara tercemar disebabkan oleh isu 1MDB yang sedang disiasat di Amerika Syarikat, juga di Switzerland dan Singapura.
“Pemimpin BN sengaja memberi fokus kepada kemajuan yang telah dicapai oleh negara tetapi umum harus ingat bahawa kemajuan yang dicapai sebahagian besarnya telah diusahakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
“Hari ini, walaupun negara kita dikenali di seluruh dunia dengan ikon pencakar langit seperti KLCC, nama 1MDB juga dikenali oleh ramai pelabur di kalangan masyarakat antarabangsa. Bangunan pencakar langit bukanlah tanda kemajuan jika ramai rakyat di kawasan bandar kecil dan pedalaman hidup dalam keadaan papa kedana,” kata Albert kepada Suara pakatan daily.
Beliau memberi amaran kemajuan yang diuar-uar oleh BN akan memakan diri apabila semakin ramai rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri dan kos hidup melambung tinggi. Kesusahan sedemikian tidak dialami semasa pentadbiran Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003..
“Walaupun negara akan mencapai 60 tahun kemerdekaan bulan hadapan, tetapi pada hari ini terdapat ramai rakyat yang belum mampu memiliki rumah sendiri.
“Gaji rakyat masih rendah jika berbanding dengan Singapura dan harga barang keperluan asas semakin meningkat,” sinisnya.
Albert menyifatkan tawaran PH dalam agenda 100 hari untuk memberi lebih kebajikan kepada rakyat dan menghapuskan GST tepat pada waktunya dan mampu menarik undi golongan atas pagar dalam PRU 14