Logo rasmi Pakatan Harapan didedah Jumaat depan
Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini dijangka akan mengumumkan logo baharu pakatan pembangkang itu pada 9 Jun ini, sebagaimana dimaklumkan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini, juga bersetuju untuk mengunakan logo baharu itu dengan menggunakan singkatan nama ‘Harapan’ bukan Pakatan Harapan.
“Kita akan umum 9 Jun ini hari Jumaat dan sepakat guna ‘Harapan’,” ujar beliau ringkas ketika ditemui media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang ini.
Hari ini media dimaklumkan satu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan dan jamuan berbuka puasa, solat terawih dengan kehadiran pimpinan Pakatan Harapan dan jemputan.
Bagaimanapun sidang media yang dijadual pada jam 6.30 petang itu, dibatalkan dan media meluru untuk mendapatkan komen berkaitan pertemuan pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam mesyuarat diadakan sebelumnya.
Pada 16 Mei lalu Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengumumkan sebanyak 10 logo telah disenarai pendek daripada 330 penyertaan untuk dipaparkan di laman rasmi Pakatan Harapan.Dimaklumkan juga dalam mesyuarat hari ini selain logo, beberapa isu turut dibincangkan.
Daripada 10 logo disenarai pendek itu pimpinan Pakatan Harapan telah memiih hanya satu logo dan ia tidak akan dipaparkan untuk mendapatkan sekali lagi komen balas khalayak.
Pengarah Majlis Media Pakatan Harapan Fahmi Fadzil turut memaklumkan mesyuarat Majlis Presiden hari ini, telah memilih satu logo sahaja yang hanya akan diumumkan kepada khalayak ketika membuat pendaftaran logo di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Kita sudah buat senarai pendek hanya satu logo dipilih. Kita ada buat sedikit perubahan ke atas logo yang dipilih itu dari segi jenis font dan saiz tulisan dan nama yang akan digunakan.
“Dalam masa terdekat sewaktu buat proses pendaftaran ke RoS, kita akan paparkan, kita tidak mahu tunjuk lebih awal,” ujarnya.
Ditanya tentang peluang khalayak untuk menilai 10 logo yang disenarai pendek seperti diumumkan sebelum ini, Fahmi berkata:” Keputusan sudah berubah. Sekurang-kurangnya kita sudah lalui proses awal (penyertaan orang ramai) untuk mereka cipta logo,” terang Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
Ditanya lagi, bila akan didaftarkan ke RoS, beliau tidak pasti sebaliknya mahu media bertanyakan kepada pimpinan utama majlis presiden yang mana media kemudiannya meluru mendapatkan jawaban daripada Dr Mahathir.
Dr Mahathir yang juga Penasihat Pakatan Harapan, bagaimanapun tidak pula menyatakan bila logo itu akan didaftarkan ke Ros ketika ditanya media, hanya menyebut logo akan diumumkan pada Jumaat.
Turut kelihatan dalam majlis diadakan Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir,Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah serta pimpinan kanan parti-parti gabungan dan penyokong Pakatan Harapan. –