Konsensus PH akan putuskan siapa PM – Anwar
Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon perdana menteri Pakatan Harapan akan diputuskan secara konsensus oleh gabungan itu.
Mengulas kesediaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedia kembali memimpin negara jika diminta berbuat demikian, Anwar berkata keputusan tidak terletak di tangan bekas perdana menteri itu.
“Ia bukan keputusan beliau, sebaliknya Pakatan Harapan,” katanya di mahkamah di Shah Alam hari ini, lapor Malaysiakini.
“Seseorang tidak menjadi menawarkan diri begitu saja sebaliknya perlu ada kesepakatan.”
Dr Mahathir, yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, disebut-sebut sestengah pihak sebagai calon terbaik untuk memimpin negara jika PH menang pilihan raya umum ke-14 nanti.
Bekas perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata pemilihan Dr Mahathir akan memastikan kestabilian politik sekiranya berlaku perubahan kerajaaan.
Dr Mahathir dalam temubualnya dengan FMT sebelum ini menolak kemungkinan itu atas alasan umur dan tidak berminat memegang jawatan itu lagi.
Pengerusi PPBM itu menambah isu calon perdana menteri tidak perlu dibincangkan jika pembangkang gagal memenangi pilihan raya.
Bagaimanapun, dalam satu sesi siaran langsung di Facebook minggu lepas, beliau sedia mempertimbangkan langkah itu jika diminta.
“Saya tidak boleh belakangkan kawan-kawan saya dalam Pakatan Harapan,” katanya, merujuk kepada parti komponen lain dalam gabungan pembangkang itu: DAP, PKR dan Amanah.
PKR secara konsisten menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, sehinggakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata membebaskan Anwar serupa membebaskan rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya. Walaupun beliau dijadualkan bebas pada 2020, undang-undang menghalang beliau bertanding atau memegang jawatan politik untuk tempoh 5 tahun selepas dibebaskan.