Tampar-menampar budaya rasmi TN50?
Budaya tampar-menampar semakin menjadi-jadi di negara kita, pertama kali dalam program diskusi TN50 di mana para artis dijemput berdialog memberikan input kepada wawasan masa hadapan PM Najib dan kali kedua di Pulau Pinang, di mana seorang pegawai kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah ditampar.
“Kalau budaya tampar-menampar berterusan maka negara Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak sedang menuju ke tahap negara Dunia Ketiga. Ada harapankah untuk pelan TN50 untuk berjaya?” tanya penganalisis ekonomi, Albert Kwok kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga seorang usahawan dalam bidang hartanah berkata kini ramai pelabur asing (kecuali dari negara-negara Arab dan China) kurang berminat melabur di Malaysia disebabkan oleh keadaan tidak sihat seperti gejala rasuah dan jenayah yang berleluasa serta senario politik yang rasis.
Katanya, walaupun rakyat Malaysia kelihatan hidup aman damai, pentadbiran serta polisi kerajaan Malaysia jelas berserabut dan kurang teratur.
“Pentadbiran negara tiada hala tuju. Ahli-ahli dari parti-parti yang rasis juga menunjukkan belang dan berperangai biadab.
“Adakah ini menggambarkan sebuah negara yang maju, harmoni dan bertoleransi?” sambung Albert yang berpendapat bahawa tindakan bodoh dan kelakuan hodoh oleh setengah ahli-ahli dan pemimpin dari parti-parti politik yang tidak bertanggungjawab ialah faktor utama mengapa imej negara akan jatuh.
Beliau menerangkan kalau rakyat terus memberi undi kepada pemimpin yang sudah jelas gagal maka kebudayaan rasis, tampar-menampar dan kekurangan disiplin akan menjadi satu perkara yang biasa di kalangan rakyat Malaysia.
“Inginkah kita sebuah negara dengan tamadun yang sebegini?,” tanya beliau lagi.