Pemilik rumah yang terlibat dengan pengambilan untuk projek Lembah Binjai, Kubang Kerian akan membuat laporan polis kerana mendakwa merasa tertipu.
"Sangat mendukacitakan, pihak kerajaan maklumkan pada media bahawa tuan rumah dan pemilik tanah telah setuju," kata Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Pulau Tengah Bantah Lembah Binjai, Hishamuddin Ghazali dalam satu kenyataan hari ini.
"Sedangkan semalam hasil yang saya dapat sebaliknya.
"Tuan tanah tidak mendapat sebarang dokumen dari kerajaan negeri Kelantan yang tanah mereka akan diambil," katanya.
Penduduk terlibat katanya, akan hadir beramai-ramai bagi membuat Laporan Polis khamis ini kerana membantah projek itu.
Menurutnya, mereka akan menamakan Menteri Besar Kelantan, Exco Pihak Berkuasa Tempatan Dato Abdu Fattah Mahmood, Adun Demit Hajah Mumtaz Nawi, YDP MPKB, Pengarah PTG, dan Ketua Jajahan Kota Bharu sebagai pihak bertanggungjawab.
"21 pemilik tanah dan rumah di kampung Chepa dalam kawasan Zon A memberitahu mereka tidak setuju, tapi diberitahu mereka setuju dengan projek tersebut," katanya.
Pada sidang media 19 Mei lalu katanya, Exco PBT, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Adun Demit Mumtaz Mat Nawi memberitahu kononnya mereka telah bersetuju membenarkan tanah mereka diambil.
"Malam tadi saya, Datuk Dr Abdul Halim Yusof, Hj Fauzi Muhammad dijemput oleh penduduk sendiri, setelah mereka tahu perjuangan penduduk Kg Pulau Tengah membuahkan hasil.
"Apabila Exco secara lisan telah menyebut Warta 4 Kampung ditarik balik, tapi kami teruskan bantahan selagi tidak dapat jaminan hitam putih bertandatangan.
"Yang hadir semalam dari pelbagai latar belakang parti, iaitu dari Umno, Pas, Amanah, Bersatu dan MCA.
"Mereka terdiri pelbagai kaum iaitu Melayu dan Cina dan mengenepikan semua warna parti, demi tanah mereka yang akan diambil alih oleh kerajaan negeri seluas 45 ekar," katanya.
Paling sedih katanya, rupa-rupanya mereka telah membuat surat petisyen bantahan tidak setuju tanah mereka diambil kepada Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
"Salinan juga disampaikan kepada YDP MPKB, Pengarah PTG, Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu bertarik 6 April 2017 lagi.
"Seramai 21 orang penduduk tidak bersetuju, senarai dilampirkan.
"Rupanya permintaan mereka tidak dilayan," katanya.