Salah satu impian Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa dalam meniti usianya yang semakin lewat ini ialah agar kematiannya nanti ketika beliau masih kekal bersama UMNO.
Ini kerana katanya, beliau benar-benar yakin bahawa UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Annuar juga menceritakan bagaimana beliau sekarang ini kerap ditanya mengapa hampir setiap hari memakai baju sama ada yang berlogo UMNO atau BN.
"Saya kata itu yang hanya nampak pada baju tapi kalaulah anda boleh belah dalam hati saya, darah yang mengalir dan jantung yang berdenyut ini dalamnya penuh dengan semangat Umno," katanya lagi.
Wahhh....hebat betul gaya "ampu dan bodek" beliau kali ini!!
Sewaktu jadi menteri dulu pun tak pernah begini nada kata-katanya.
Apa lagi yang beliau harapkan agaknya dengan mengatakan ingin meninggal dunia dalam UMNO ini?
Apakah juga yang beliau bangga sangat dapat meninggal dunia dalam UMNO sedangkan tiga bekas Presiden UMNO, termasuk pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Alhal dan Tun Hussein Onn pun tidak mati ketika bersama UMNO?
Apakah tiga bekas Presiden UMNO itu tidak sedar parti yang pernah mereka terajui berjuang untuk agama, bangsa dan negara?
Dan sekarang, Tun Mahathir Mohamad, seorang lagi bekas Presiden UMNO juga sudah "berpatah arang, berkerat rotan" serta "membakar jambatan untuk selama-lamanya" dengan parti itu dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi juga untuk meninggal dunia di luar UMNO.
Bermakna, kemungkinannya dalam sejarah tujuh Presiden UMNO, empat daripadanya meninggal dunia di luar UMNO.
Jadi, apa hebatnya meninggal dunia di dalam UMNO seperti impian Annuar itu, lebih-lebih lagi jika di dalam UMNO itu sendiri penuh dengan segala macam perkara yang tidak baik dan jijik di hati rakyat?
Lagi pun, bukankah kerana terlalu banyak perkara jijik dan tidak baik itulah juga menyebabkan UMNO sendiri dalam keadaan tenat dan bakal "meninggal dunia" atau hilang kuasanya tidak berapa lama lagi?
Sebelum Annuar menghembuskan nafas terakhirnya dan beliau berharap untuk meninggal dunia ketika bersama UMNO, sebaliknya majoriti rakyat lebih mengharapkan UMNO itu sendiri "meninggal dunia" terlebih dahulu.
Jika UMNO "meninggal dunia" lebih dulu, masihkah Annuar mahu meninggal dunia bersama UMNO? (ShahbudinHusin 27/05/2017).