Isu perkauman, kegagalan Bandar Malaysia jejas ekonomi – Penganalisis
Dua isu, perkauman dan penarikan diri GLC dari negara China melabur dalam projek Bandar Malaysia dianggap bakal mengurangkan minat pelabur asing menanam modal di Malaysia sepanjang 2017.
Hal itu dinyatakan oleh penganalisis ekonomi, Albert Kwok. Menurut beliau, kegagalan konsortium China-Malaysia membayar pembelian 60% saham Bandar Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini menjejaskan keyakinan pelabur asing. Katanya, pelabur asing akan berfikir ada sesuatu yang ‘tidak kena’ mengenai situasi ekonomi dan politik di Malaysia sehingga China enggan terlibat dalam projek yang menelan belanja lebih RM10 bilion itu.
“Tiada siapa yang benar-benar jelas mengenai isu projek Bandar Malaysia ini. Berita serta kenyataan mengenainya saling bercanggah. Keadaan begini pasti akan merunsingkan para pelabur dan ini tentunya akan menjejaskan imej negara,” kata Albert kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, menurutnya, isu perkauman yang dimainkan oleh kerajaan BN dan kumpulan ultra nasionalis juga menggentarkan pelabur yang beranggapan negara boleh terjerumus ke kancah ketidakstaliban pada masa hadapan.
“Situasi politik di Malaysia adalah rumit kerana ada setengah pihak yang gemar ungkit isu perkauman. Walaupun Malaysia sebuah negara yang aman, duta-duta negara asing yang berada di sini tentu maklum bahawa ada orang yang sudah diculik (kerana agama) dan masih belum dijumpai (Raymond Koh, seorang paderi dari gereja Protestant), kes jenayah terutamanya ‘pukul orang’ dan ‘gangsterisme’, kes pemerdagangan orang dan kes maksiat yang berleluasa menggambarkan seolah-olah kita masih berada dalam tahap negara Dunia Ketiga,” sambung Albert.
Oleh yang demikian, beliau berpendapat PM Najib tidak akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat. Katanya, Najib akan menghitung risiko akibat perubahan beberapa petunjuk ekonomi dan politik sebelum bertindak memanggil pilihan raya.
“Ya, Parlimen masih belum dibubarkan lagi. Oleh itu, nampaknya Pilihanraya Umum Ke-14 akan diadakan selepas Hari Raya Puasa sahajalah. Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk PRU14 sebab pelbagai isu mampu menggugat angka ekonomi dan berlakunya ketidakstabilan sosial,” katanya.