GEORGE TOWN, 8 MEI: Pertemuan bersejarah DAP Pulau Pinang dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang tengah hari 4 Mei lalu antara lain berbincang mengenai kerjasama dua hala dalam merealisasikan projek infrastruktur awam serta memartabatkan ekonomi rakyat, khususnya orang Melayu di negeri tersebut.
Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen di sini.
“Cabaran ekonomi Melayu adalah masalah kebangsaan kita, juga di Pulau Pinang.
“Ini perkongsian (peranan) yang dimainkan oleh Dewan terhadap isu-isu ekonomi negeri Pulau Pinang, mengenal pasti masalah-masalah dan cabaran-cabaran khususnya yang dihadapi oleh orang Melayu daripada segi jurang pendapatan dan peluang ekonomi,” jelas Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Rombongan tersebut turut disertai pemimpin-pemimpin kanan DAP Pulau Pinang, antara lain termasuk Senator Dr Ariffin Omar, Sdr Jagdeep Singh, Sdr Zairil Khir Johari, Sdri Lim Siew Khim selaku Ketua Wanita DAP Negeri dan Sdr Danny Law.
Kon Yeow juga memberitahu, Kerajaan Negeri turut mengharapkan Dewan berkenaan boleh menjadi pengantara dan jambatan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat ke arah melancarkan proses kelulusan projek infrastruktur di negeri ini, seperti Pelan Induk Pengangkutan kelak.
“Ada hasrat menjemput anggota dewan jadi ahli dalam apa-apa jawatankuasa dan badan bertindak di Pulau Pinang supaya dewan boleh memainkan peranan sebagai perantara dan membawa isu-isu yang kemungkinan perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri” jelas beliau.
Dalam sesi dialog selama hampir dua jam, kedua-dua organisasi saling bertukar pandangan tentang isu yang dihadapi oleh orang Melayu di Pulau Pinang dan di Malaysia.
Bagi pihak Dewan Perniagaan Melayu pula, selain mengalu-alukan lawatan kali ini sebagai bersejarah dan satu permulaan yang baik untuk hubungan dua hala, kepimpinan Dewan turut menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan suara komuniti perniagaan Melayu dapat didengar.
“Jangan kita mempolitikkan sangat mengenai jawatankuasa, kita kena tumpu kepada aspek ekonomi Melayu dan melakukan sesuatu yang merentasi kepentingan politik kepartian,” ujar Rizal kepada pemberita.