Adam Rosly wajar digantung jawatan – Syed Ibrahim
Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh menggesa agar Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly yang didakwa 6 tuduhan di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) digantung tugas.
Katanya, tindakan penggantungan tugas itu wajar dilakukan bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap PKR, khususnya di Selangor sepanjang proses mahkamah sehingga nama Adam dibersihkan.
“Siasatan dan dakwaan ke atas Adam Rosly telah berlaku. Proses keadilan perlu berjalan. Ruang seluasnya wajar diberi untuk keadilan dilaksanakan.
“Namun, sementara proses itu berjalan, wajar Adam Rosly digantungkan jawatan dan tugas beliau dipangku oleh timbalan atau naib AMK Ampang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Ibrahim lagi, PKR tidak akan bertoleransi kepada sesiapa yang mengamalkan korupsi dalam parti. Katanya, rakyat tidak perlu khuatir mengenai agenda politik dan pentadbiran bersih dan telus yang dibawa olah parti itu dan tidak wajar mengaitkan kes Adam dengan parlimen Ampang atau kerajaan negeri Selangor.
“Bagi PKR, segala tindakan pengumpulan kekayaan atau kemewahan yang melampau apatah lagi secara penipuan atau penyelewengan perlu ditolak. Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat ditegakkan,” katanya.