Tun Mahathir cabar Nazri Aziz bertanding di Langkawi
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Nazri Aziz supaya bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Saya ajak dia bertanding dengan saya di Langkawi dalam pilihan raya akan datang,” kata beliau pada sidang media.
Kata Dr Mahathir, Nazri seharusnya lebih tahu beliau berkhidmat untuk negara, bukan hanya kepada penyokongnya di Padang Rengas.
“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.
“Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja.”
Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mencabar bekas Dr. Mahathir selepas mendapat tahu bekas Perdana Menteri itu akan menyertai lawatan PPBM ke Padang Rengas lewat bulan ini.
Nazri berkata, cabaran itu akan diberikan kepada Presiden PPBM, Datuk Seri Muhyiddin Yassin jika Dr. Mahathir enggan berbuat demikian.
“Saya difahamkan Muhyiddin akan datang ke sini pada 23 Mac dan diikuti oleh Dr Mahathir pada 25 Mac.
“Lawatan itu melambangkan betapa hebatnya saya sebagai seorang ahli politik kerana mereka perlu datang ke sini untuk mengalahkan saya, maka lebih mudah untuk mereka menjatuhkan Umno.
“Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada mereka, tapi jangan datang saja tapi bertanding di Padang Rengas pada pilihan raya akan datang.”
Nazri berkata, adalah lebih baik jika Dr Mahathir yang bertanding, jika bekas Perdana Menteri itu tidak dapat maka terpaksalah beliau bertanding dengan Muhyiddin.
Bulan lalu, Dr Mahathir dilantik sebagai Ketua Bahagian PPBM di Langkawi, Kedah.
Sepanjang tempoh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau meletakkan tumpuan yang banyak kepada pembangunan Langkawi.
Beliau mengisytiharkan Langkawi sebagai pelabuhan bebas cukai untuk menggalakkan aktiviti perdagangan dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk membawa pembangunan di pulau itu. FMT