Tiba masa Anwar namakan peneraju pembangkang – Zaid Ibrahim
Sebagai pemimpin pakatan pembangkang dalam 2 pilihan raya umum (PRU) lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling sesuai menamakan individu bakal mengetuai perjuangan menentang Barisan Nasional dalam PRU14, kata Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas menteri itu berkata sokongan bekas pemimpin PKR ini boleh membantu mengukuhkan lagi gabungan barisan pembangkang yang sedia kukuh dan dipercayai sebelum ini.
“Saya percaya Anwar akan mengambil kira semua faktor yang diperlukan untuk menang dalam pilihan raya dan mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri apabila tiba masanya nanti.
“Tetapi, Anwar mesti bertindak sekarang sebelum kita bazirkan masa yang hanya tinggal beberapa bulan saja lagi, daripada kita bercakap perkara yang tidak penting,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam kenyataan di blognya hari ini.
Zaid berkata pengumuman Anwar itu nanti, mampu meningkatkan keyakinan pengundi kerana sebagai seorang pemimpin, beliau mungkin penyebab kepada kemenangan pihak pembangkang.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada gelombang keterujaan baharu dan meraih kepercayaan di kalangan pengundi, pilihan raya kali ini perubahan yang sebenar,” katanya. FMT