Selepas dua tahun dipenjara, peguam mahu Anwar dibebaskan
Peguam bagi mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menulis kepada kerajaan meminta pembebasan awal selepas beliau menjalani pemenjaraan selama dua tahun bagi sabitan tuduhan salah laku seks dalam kes Fitnah II.
“Dalam permohonan kami, kami telah menyatakan sebab utama mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti dibebaskan serta-merta.
“Antara sebab-sebab itu adalah bahawa kumpulan kerja PBB mengenai penahanan arbitrari pada 15 September 2015 telah mengisytiharkan penahanannya sebagai tidak sah dan menggesa pembebasannya.
“Oleh itu, pemenjaraannya yang berterusan mencemarkan imej dan reputasi negara kita di mata masyarakat antarabangsa.
“Malaysia adalah negara anggota PBB, dan tidak boleh mengabaikan dapatan mutlak sebuah badan PBB,” kata peguam N Surendran dan Latheefa Koya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mereka secara rasmi menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara semalam meminta pembebasan Anwar di bawah seksyen 43 Akta Penjara 1995.