Ketua Muslimat Pas Selangor jangan serang MB Azmin – Haniza Talha
Ketua Wanita PKR Selangor Haniza Talha mengecam tindakan Ketua Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menyerang dan mengutuk Kerajaan Selangor serta Dato’ Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dengan alasan tidak berasas.
Katanya, Wan Hasrina telah memberi gambaran salah tentang hubungan kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan di Selangor melalui komennya yang disiarkan media massa.
“Sebagai seorang Ahli Majlis MPAJ yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawab baginya mempertahankan hubungan kerjasama antara parti-parti yang selama ini bekerja keras membangunkan Selangor. Sebaliknya, Wan Hasrina menyerang dan mengutuk Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar dengan kenyataan yang tidak berasas. Kami beranggapan, kritikan beliau tidak menggambarkan semangat persefahaman yang dinikmati oleh Pas bersama Pakatan Harapan.
“Fakta juga menunjukkan Pas hanya mampu menembusi Selangor selepas bekerjasama dengan Pakatan. Jika tidak kerana gabungan tersebut, Pas mungkin tidak menang apa-apa kerusi di Selangor,” katanya.
Menurut Haniza Azmin telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor oleh DYMM Sultan Selangor atas cadangan dan persetujuan rakan-rakan dalam Pakatan dan bukan kerana Pas, sebagaimana diungkit oleh muslimat Pas.
“Dua puluh lapan daripada 44 Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan telah menyokong dan tiada satu pun daripada PAS. Namun demikian, beberapa ADUN daripada Pas masih diberi jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atas sifat berlapang dada YAB Dato’ Seri Azmin Ali.
“Wanita PKR mendesak Wan Hasrina menarik kembali kenyataannya serta-merta. Guna saluran yang betul jika ingin luahkan rasa tidak puas hati daripada menjadi budak suruhan Nik Abduh, yang dilihat sangat mesra dengan Umno,” katanya dalam satu kenyataan.