Akhirnya Azmin Ali ‘ditaji’ ahli, pemimpin Pas Selangor
ULASAN: Serangan demi serangan yang diterima MB Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengeruhkan hubungan antara PKR dan Pas di Selangor.
Sebelum ini Pas membayangkan tahaluf siyasi bersama PKR akan dibahas. Sekiranya perwakilan berhajat untuk memutuskannya dalam muktamar pada April depan maka hubungan dalam kerajaan yang masih bersisa di Selangor akan berakhir.
Ketua Dewan Pemuda Pas Nik Abduh Nik Aziz menambah minyak ke dalam api apabila memberikan komen dalam Sinar Harian bahawa Pas akan menawan Selangor pada PRU 14.
“Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran. Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.
“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Komen itu mendapat reaksi pantas Azmin, melalui tweet beliau menyindir: “Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur”
Tweet itu tidak merujuk sesiapa tetapi perkataan lebai tersungkur itu difahami ditujukan kepada Nik Abduh kerana beliau tewas ketika merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini.
Pahlawan ditikam
Pertembungan Pas – PKR selepasnya adalah sejarah. Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR. Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor Wan Hasrina Wan Hassan juga mengecam Azmin dan mengingatkan beliau bahawa Pas yang mengangkatnya ke kedudukan MB manakala Ketua Pemuda PAS Subang Hanafi Zulkapli pula dalam kenyataannya bertekad untuk menunjukkan ‘pintu keluar’ buat Azmin.
Akhirnya Azmin yang membela Pas bersungguh-sungguh sejak 2015 apabila DAP memutuskan hubungan dengan Hj Hadi dan bermulanya hubungan kurang selesa PKR – Pas ‘ditaji’ secukupnya oleh pemimpin dan penyokong parti agama itu.
Barangkali ahli Pas tidak tahu sikap keperwiraan Azmin membela Pas untuk kekal dalam kerajaan Selangor sehingga menimbulkan rasa kurang senang presiden PKR Dr Wan Azizah dan ahli Biro Politik pro Anwar. Boleh dikatakan Azmin adalah satu-satunya faktor yang menyebabkan masih terdapat exco Pas dalam pentadbiran Selangor. Begitu juga ahli majlis dan ketua kampung Pas.
Tidak diperlukan
Berdasarkan amalan politik lazim, selepas Pakatan Harapan mempunyai suara cukup dalam DUN Selangor apabila dua adun Pas Saari Sungip dan Hasnul Baharuddin menyertai Parti Amanah Negara maka Pas tidak lagi diperlukan dalam hierarki Selangor.
Sebagaimana di Pulau Pinang, sebaik sahaja Amanah ditubuhkan maka Ketua Menteri Lim Guan Eng memecat semua ahli majlis dan ketua kampung Pas lalu menggantikan dengan pemimpin Amanah.
Di Selangor, Azmin rela dimusuhi oleh pemimpin Amanah kerana mempertahankan pemimpin Pas dalam jawatan penting. Puak Azmin atau lebih dikenali sebagai ‘geng kartel’ pula memberi alasan MB bertindak sedekimian kerana tidak mahu menghampakan sultan Selangor yang mahukan kerajaan berteraskan Melayu.
Azmin juga tidak selesa dengan keputusan PKR segera menubuhkan PH sedangkan Pakatan Rakyat masih boleh diselamatkan. Manakala geng kartel berusaha menjarakkan diri dengan penyokong Dr Wan Azizah yang digambarkan sebagai team Rafizi Ramli atau Saifuddin Nasution yang menolak dasar flip flop Pas.
Berbaik dengan Umno
Namun semuanya berubah pada penghujung Mac 2017 apabila jasa-jasa Azmin tidak dipandang sama sekali oleh pemimpin Pas yang kemaruk mahu berbaik-baik dengan Umno. Mereka sanggup mendedahkan perancangan untuk merebut kuasa di Selangor ketika Azmin masih lagi berkuasa.
Begitu juga Pemuda Pas di kebanyakan Kawasan yang segera memutuskan hubungan dengan PKR seolah-olah parti itu tidak pernah memberi kelebihan kepada Pas. Parti agama itu juga dengan bongkaknya berkata semua kerusi PKR di Selangor adalah milik mereka walaupun tidak pernah menang sehinggalah berlakunya gelombang Anwar pada PRU 1999.
Malah Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat Dr Zuhdi Marzuki mengakui Pas akan mengambil balik kerusi yang dipinjamkan kepada PKR sekiranya hubungan putus. Bermakna Pas akan meletakkan calon di kawasan PKR dan bertanding untuk memecahkan undi jika pun tidak mungkin memenanginya.
Kebiadaban Pas ini sepatutnya menjadi pengajaran buat Azmin agar tidak lagi ‘melawan’ arus dalam PKR yang menolak Pas sejak 2015. Azmin yang beranggapan pak lebai yang menadah kitab tidak akan melupakan persahabatan dan mempunyai akhlak lebih tinggi daripada rakan sesama PKR ternyata silap.
Tiada akhlak
Terbukti pemimpin Pas lebih tidak berakhlak dan pakar dalam mencaci sahabat karib dalam sekelip mata sahaja. Kini ‘kekelatan’ yang dirasakan oleh pemimpin Amanah dan DAP dirasai sendiri oleh Azmin.
Baharulah beliau sedar bahawa pemimpin Pas ‘malu alah’ mencaci pemimpin Umno, sebaliknya tidak mempunyai masalah menghina sesiapa sahaja dalam kalangan pembangkang.
Semoga pengajaran ini berguna buat Azmin dan mengembalikan geng kartel yang amat setia kepadanya ke dalam saf PKR. Kesepaduan Azmin dan Dr Wan Azizah amat diperlukan dalam merencanakan serangan ke atas Pas dan merancang kemenangan dalam pertandingan tiga penjuru antara PH, Pas dan BN dalam PRU 14.
_________________________________________________________________________________________
Tulisan ini adalah meraikan kebebasan media dan tidak mewakili pendirian rasmi Suarapakatandaily.