Konvensyen Reformis: Lupakan yang lama…. jatuhkan Najib – Tun M
Berdepan dengan aktivis yang pernah mengecamnya dengan pelbagai label, hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya untuk “diambil tindakan” oleh kumpulan reformasi.
Berucap di Konvensyen Reformis Malaysia hari ini, Dr Mahathir menegaskan – untuk kesekian kalinya – bahawa perjuangan utama rakyat di negara ini ialah menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Seruan itu disambut tepukan gemuruh oleh kira-kira 300 orang yang hadir di IDCC Shah Alam itu.
Tokoh yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu juga secara sedar mengakui dia bukanlah orang yang digemari semua.
“Saya bukanlah orang yang disukai semua orang, banyak yang masih tak suka,” katanya disambut sorakan “Betul! Betul!” daripada hadirin.
Pun begitu ia tidak menjejaskan ucapan Dr Mahathir.
“Sebab itu saya ingin tekankan di sini akan pentingnya kita lupakan yang lama….” katanya, dan sekali lagi disorak sebahagian hadirin.
“Tak boleh lupa Tun! Lapan belas tahun Tun!!” kata hadirin, merujuk kepada permulaan kebangkitan gerakan reformasi kesan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Kata Dr Mahathir, beliau sebelum ini belum pernah bersemuka dengan penggerak gerakan reformasi.
Namun pada hari ini, kata pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia itu, beliau mendapat kehadiran begitu ramai dan penuh dengan emosi serta semangat.
“Apa yang utama (difikirkan semua pihak) ialah, apakah kita boleh bersatu dan jatuhkan kerajaan Najib.
“Lepas itu kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambik laaa…” katanya disambut tepukan dan sorakan sekali lagi.
Sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan mengejut di majlis Konvensyen Reformis di Shah Alam hari ini dan disambut dengan sorakan – merai dan mengejek – daripada orang ramai.
Bekas perdana menteri itu tidak tersenarai sebagai tetamu tetapi beliau muncul ketika panel pertama berucap dan untuk seketika menyebabkan ia terhenti seketika.
Orang ramai yang menyedari kemunculan tokoh berusia 91 tahun itu kemudian menjeritkan “Reformasi” dan “Bebas Anwar” selain kecaman “Firaun”.
Bagaimanapun moderator berjaya mengawal keadaan tidak lama kemudian.
Konvensyen di Shah Alam itu dihadiri oleh ramai penyokong gerakan reformasi serta pemimpim pembangkang.
Sebahagian peserta menyuarakan sentimen anti-Mahathir sebagai respons terhadap ucapan yang menyebut nama pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.
Ketika memberikan ucapan alu-aluan Pengerusi Reformis Malaysia, Saari Sungib, berkata mereka hanya akan menerima Dr Mahathir jika bekas perdana menteri itu menyertai kempen membebaskan Anwar.
Satu lagi tuntutan mereka yang dinyatakan Saari ialah Dr Mahathir perlu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan beliau sepanjang tempoh menjadi perdana menteri.
Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Saari yang juga ADUN Hulu Kelang memberitahu, mereka tidak menjemput Dr Mahathir datang ke konvensyen berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau, penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar yang meminta supaya pemimpin BERSATU terbabit diberi ruang di majlis berkenaan.
Permohonan itu dipersetujui, kata Saari, dengan syarat Dr Mahathir menegaskan kepentingan Anwar dalam perjuangan pembangkang mengalahkan BN. M’kini