Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno (yang menjalankan tugas Timbalan Presiden) mengajak sebuah parti politik agar merapatkan hubungan silaturahim bersama mereka.
Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Umno untuk Pemuda, Wanita dan Puteri Umno malam tadi, Zahid berkata, "Kita sesama kita, buka buku baru, kita rapatkanlah silaturahim, kita hendaklah berlapang dada dan hulurkan tangan sesama kita".
Tanpa menyebut nama parti itu, Zahid berkata, beliau bersyukur kerana parti itu telah mula memahami Umno.
"Ada satu ketika, ada rakan kita yang berada di luar sana, tidak begitu berkenan dengan kita. Tetapi kita bersyukur kerana mereka telah mula memahami keadaan kita," katanya yang dipercayai ditujukan kepada Pas.
Zahid juga berkata, kedua-duanya tidak perlu bertahaluf siasi, istilah yang digunakan oleh Pas dalam kerjasama politik, tetapi cukup kalau sekadar tabayyun (mendapatkan pencerahan) atau saling memahami.
"Tidak perlu tahaluf siyasi (political collaboration atau kerjasama politik), biar apa namanya hatta tabayyun (mendapatkan pencerahan), Umno ikhlas," kata Zahid dalam ucapan itu.
Beliau juga berkata, jika pihak berkenaan sekali mahu bekerjasama, Umno akan menerimanya dengan tangan terbuka.
"Kalau ada orang menghulurkan tangan, kita juga 10 kali menghulurkan tangan kepada mereka," kata Zahid lagi.