Petrol, diesel naik, kerajaan tiada wang – Pemuda Amanah
Kenaikan harga minyak yang diumumkan untuk bulan November membuktikan negara sedang mengalami krisis kewangan yang meruncing, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak, Muhammad Faeez Azahar.
Beliau berkata, belum sampai sebulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017, ia telah membuktikan bajet yang dibentangkan itu tidak realistik kerana negara mengalami krisis kewangan.
“Kerajaan sendiri menunjukkan kepada masyarakat bahawa belanjawan negara untuk tahun 2017 tempang dan sukar untuk dilaksanakan.
“Rakyat baru sahaja dimomokkan dengan belanjawan yang ‘enak’ di mata masyarakat, ini termasuklah pengumuman kenaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sebagainya.
“Belum sempat rakyat ‘menikmati’ bantuan tersebut, poket rakyat telah ‘dicuri’ melalui kenaikan harga minyak,” katanya dalam satu kenyataan.
Mulai esok harga runcit baharu bagi RON95 ialah RM1.95 seliter, RON97 (RM2.30 seliter) manakala diesel pula RM1.90 seliter.
Harga baru tersebut lebih tinggi berbanding Januari lalu apabila RON95 berada pada paras RM1.85 seliter, RON97 (RM2.25) dan diesel (RM1.60).
Harga baru yang diumumkan oleh kerajaan ini kata Faeez, sudah pasti disambut negatif oleh masyarakat yang kini dalam keadaan yang sangat tertekan dengan kos kehidupan yang semakin meningkat.
Beliau menambah, kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan kenaikan harga-harga barangan sekaligus menambahkan lagi bebanan rakyat khusunya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Rakyat perlu melihat kenaikan harga minyak ini sebagai bukti kerajaan yang ada pada hari ini tidak lagi memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya membuat kerja mudah untuk mendapatkan dana dengan menaikkan harga minyak,” katanya.