Usul pindaan Akta 355 yang bakal dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika dibenarkan adalah untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar satu Rang Undang-undang bagi menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah dirujuk kepada menteri yang berkenaan untuk dipertimbangkan.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata demikian ketika mengulas jangkaan Presiden Pas itu akan membentangkan usul tersebut di Dewan Rakyat pada masa terdekat.
Menurutnya, usul itu mesti mendapat kebenaran daripada kerajaan iaitu Datuk Seri Najib Razak selaku ketua kerajaan untuk dibentangkan.
"Kebenaran ini selalunya dizahirkan dalam bentuk keizinan yang diberi oleh menteri yang bertanggungjawab hal ehwal parlimen yang sekarang ini dipegang Datuk Azalina Said Othman.
"Jika Datuk Seri Najib Tun Razak membenarkan, maka usul boleh dibentang dan dibahaskan.
"Katakanlah usul diberi kebenaran oleh Perdana Menteri dan ia dibahaskan. Setelah dibahas maka berlaku pengundian," ujarnya sambil menekankan perlunya Peraturan Mesyuarat difahami.
Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, ramai yang menjangkakan Dewan Rakyat akan tunggang terbalik jika sampai ke peringkat pengundian kerana jika diluluskan kononnya terlaksanalah hudud di Malaysia.
"Yang tidak setuju berpandangan ini satu bahaya yang kita mesti hentikan. Yang bersetuju menegaskan kalau tidak setuju maka orang itu menolak Islam.
"Hakikatnya jauh panggang dari api, jauh undang-undang dari 1MDB (pepatah kedua saya tambah sendiri)," sindirnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perjalanan untuk hudud bahkan menaik taraf Mahkamah Syariah masih jauh jika usul RUU355 itu diundi dan diluluskan.
"Sebabnya ialah pengundian yang dibuat selepas pembentangan dan perbahasan usul Ahli Parlimen Marang itu hanya bagi mendapat persetujuan Dewan Rakyat untuk merujuk rang undang-undang tersebut kepada menteri yang bertanggungjawab untuk dipertimbangkan.
"Selagi menteri berkenaan tidak kembali untuk membentangkan rang undang-undang itu sebagai rang undang-undang kerajaan dan dibahaskan kembali, maka undi yang dibuat susulan dari usul Ahli Parlimen Marang itu tidak lebih dari menyatakan sokongan moral tanpa ada kesan undang-undang," tegasnya.
Sehubungan itu, Rafizi menasihatkan supaya rakyat faham bahawa pindaan Akta 355 akhirnya kembali kepada keputusan Najib jika pengundian berlaku selepas pembentangan usul Ahli Parlimen Marang tersebut.
Menurutnya, cadangan Hadi itu hanya berpeluang untuk dilaksanakan jika Najib mengarahkan Datuk Seri Jamil Khir membentangkan satu rang undang-undang jenayah memperkasakan Mahkamah Syariah untuk dibahaskan pada peringkat bacaan kedua.
"Ramai yang tidak sedar bahawa walaupun ahli parlimen bukan kerajaan boleh sahaja mengusulkan apa-apa cadangan rang undang-undang, untuk ia dibahas dan diundi sebelum dilaksanakan, ia mestilah diterima dan dibentangkan kembali sebagai rang undang-undang kerajaan.
"Hanya rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan yang akan dan boleh dilaksanakan," tambahnya lagi.