Sumbang tanah mahal tanda penghormatan kepada Mahkamah Syariah, tetapi projek lewat 21 bulan

guan eng

GEORGE TOWN, 1 JUN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa kecewa dengan kelewatan 21 bulan projek Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri, meski telah diberi tempoh lanjut sebanyak dua kali.
Kompleks tersebut yang sepatutnya siap pada 1 Oktober 2014, hanya siap setakat 87 peratus pada penghujung April, ekoran masalah kewangan dan pengurusan syarikat kontraktor IHS Utara Malaysia Sdn Bhd.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam lawatan kerjanya ke tapak projek yang belum siap itu, mempersoalkan kelewatan projek terbabit yang dikerjakan secara usaha sama antara Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan juga agensi Kerajaan Pusat.
Bercakap kepada pemberita, Guan Eng memberitahu bahawa Yang Di Pertua Negeri Tun Dato’ Seri Utama Abdul Rahman Abbas juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan projek tersebut, selain orang ramai yang menyangka ia salah Kerajaan Negeri.
Kes istimewa, penghormatan buat Mahkamah Syariah
‘Kita sumbangkan tanah kerajaan negeri yang begitu mahal nilainya sebagai pengiktirafan dan tanda kita menghormati institusi mahkamah syariah,’ ujar beliau kepada Roketkini selepas sessi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya yang mengelola projek terbabit.
Menurutnya, bukanlah menjadi amalan untuk sesebuah kerajaan negeri untuk memperuntukkan tanah yang mempunyai nilai tinggi untuk tujuan membangunkan mahkamah.
‘Ini kes istimewa. Kita buat pengecualian kerana ini mahkamah syariah,’ jelas beliau sambil menambah bahawa tanah seluas 2.93 ekar di simpang Jalan Scotland dan Jalan Batu Gantung itu dianggar bernilai RM81 juta.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP membuat lawatan kerja hari ini bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Abd Rashid Hasnon, Exco Datuk Abdul Malik Kassim, ditemani wakil-wakil Ahli Majlis DAP dari Selangor dan Pulau Pinang.
Projek yang menelan kos hampir RM30 juta ini telah diberikan Perakuan Kelambatan dan Kelanjutan Masa sebanyak dua kali pada 1 Januari 2015 dan 28 April tahun yang sama. Namun setakat kelewatan sehingga 29 April 2016, pihak kontraktor telah dikenakan Denda Ganti Rugi Ditetapkan sebanyak RM2,163,603.
“Sememangnya kita bersimpati dengan badan kehakiman syariah di sini, tapi Kerajaan Negeri yang terpaksa berdepan dengan rakyat dan menjelaskannya.
“Saya harap, tiada lagi penangguhan selepas ini memandangkan sebelum ini sudah dua kali mengalami kelewatan, ini adalah muktahir, projek ini akan siap menjelang 30 Jun 2016 nanti seperti yang dijanjikan.
“Saya sudah tidak mahu lagi janji demi janji diberikan tetapi tidak ditunaikan,” tegasnya.- Roketkini.com