Penyokong Deklarasi Rakyat perlu undi calon Amanah – Kadir Jasin
Calon AMANAH yang mewakili Pakatan Harapan merupakan calon terbaik buat penyokong-penyokong Deklarasi Rakyat yang dibawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tokoh wartawan, Datuk Kadir Jasin juga menggalakkan peserta Deklarasi Rakyat berkempen bagi pihak calon AMANAH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Walaupun jalan di hadapan adalah mencabar bagi peserta dan penyokong Deklarasi Rakyat, namun apa yang mereka pamerkan sejak 4 Mac lalu memberi harapan baru kepada rakyat jelata yang ditindas akibat penyalahgunaan kuasa dan ketidakcekapan kerajaan Mohd Najib,” katanya.
Menulis di blog, Kadir turut menyenaraikan beberapa alasan mengapakah calon yang mewakili PH merupakan calon terbaik. Antaranya, melihat keppada situasi semasa antara PAS dan UMNO, rakyat tidak pasti siapakah yang menentang siapa dan besar kemungkinan kedua-dua parti ini sudah berpakat.
“Hadi mengaku berunding dengan ‘kerajaan’ mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Bukan Kerajaan untuk meminda Akta (Bidang Kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah Kelantan. ‘Kerajaan’ dalam konteks ini adalah Mohd Najib,” katanya.
Jelasnya, Najib kini juga tidak lagi menjaga kepentingan dan perasaan ahli dan penyokong UMNO tetapi mengambil hati Hadi serta Datuk Dr. Haron Din. Hal ini kerana, Najib dihantui kemungkinan dipecat melalui akuan berkanun oleh Dewan Rakyat.
“Antara hilang undi dan hilang jawatan, Mohd Najib lebih rela memperjudikan undi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Najib percaya sebarang kemarahan pengundi UMNO/BN kerana bersekongkol dengan Hadi dan Haron boleh diubati oleh penawar ‘cash is king’,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, UMNO/BN juga sudah tidak pedulikan undi Cina dan India lagi. Hal ini kerana, mereka sudah mengaku kalah kepada DAP dan PH.
“Peranan wakil Cina dan India dalam BN sudah diturunkan ke taraf penghibur lara saja. Apa yang mereka kata dan lakukan termasuk ancaman keluar BN tidak dipedulikan lagi. Mereka sekadar penggenap bilangan dan makan gaji,” katanya.
Bagi PRK di Kuala Kangsar, AMANAH menamakan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon Pakatan Harapan. Sementara itu, bekas guru Azhar Abdul Shukur pula dinamakan sebagai calon di Sungai Besar.