Pas tidak serius PRK K. Kangsar, mahu bergabung dengan Umno?
Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi meminta Pas menjelaskan hala tuju mereka kepada para penyokong agar masa hadapan parti itu tidak lagi menjadi teka teki.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz dalam Sinar Harian hari ini bahawa Pas bukan sahaja berniat malah berazam untuk bersatu dengan Umno kerana matlamat penubuhan parti Islam itu adalah untuk menyatukan umat di atas jalan yang betul termasuk penyatuan parti politik.
“Kalau nak bergabung bertanding lawan Umno buat apa? Kalau nak bergabung bagitahu penyokong di bawah. Jadi mereka tidak terus berada dalam kekeliruan.
“Pemimpin di atas kata tak ada usaha untuk bergabung. Yang pertengahan kata mereka akan bekerjasama dengan Umno.
“Apa maksudnya bekerjasama dengan Umno? Dalam pilihan raya berlawan antara satu sama lain. Apa semua ni?” soalnya.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa Pas bertanding di Kuala Kangsar hanya untuk memenangkan Umno Barisan Nasional.
“Kehadiran mereka dalam pilihan raya ini tidak serius tetapi untuk memudah cara kepada kemenangan Umno Barisan Nasional.
“Kita pun ada maklumat serba sedikit perangkaan-perangkaan mereka yang tidak menunjukkan usaha untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Sementara itu, setiausaha organisasi Amanah Suhaizan Kaiyat semalam berkata, maklumat yang diperoleh daripada Laporan Persiapan Dan Gerakerja PAS, PRK P067 Kuala Kangsar, memaklumkan jumlah undi target Pas di Kuala Kangsar adalah 8,713 sedangkan undi yang diperolehi mereka dalam PRU13 sebanyak 13,136 undi.
“Ini bermakna Pas tidak mahu menang dalam PRK Kuala Kangsar sebaliknya hanya mahu mendapat undi lebih besar daripada Amanah seterusnya mahu memberi kemenangan kepada parti BN,” katanya.