Malaysia dateline
Buat pertama kalinya, Pakatan Harapan meletakkan calonnya secara rasmi untuk bertanding dalam pilihan raya selepas ia ditubuhkan beberapa bulan lalu selepas hancurnya Pakatan Rakyat, kata ketua sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifudin Abdullah.
Ketika berucap di majlis pengenalan calon mereka malam tadi, pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi pilihan raya pertama Pakatan Harapan yang dianggotai oleh Amanah, PKR dan DAP meletakkan calon rasmi mereka.
"Ini adalah calon Pakatan Harapan yang diwakili oleh Amanah," kata Saifudin ketika berucap memperkenalkan Azhar Ab Shukur di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar malam tadi.
Selepas ditubuhkan, Amanah, DAP dan PKR menyertai pilihan raya negeri Sarawak namun ia atas nama parti masing-masing bukan atas nama Pakatan Harapan.
Ada antara calon-calon mereka bertembung antara satu sama lain misalnya antara PKR dengan DAP.
Istilah calon Pakatan Harapan digunakan oleh kesemua pemimpin yang berucap. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memulakan istilah itu dan dengan tegas berkata "Ini adalah calon Pakatan Harapan.".
Baju rasmi Pakatan Harapan yang mempunyai tiga jalur, oren, biru PKR dan merah DAP mula dipakai buat pertama kalinya dalam majlis malam tadi oleh sebahagian pemimpin yang hadir.
Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang yang turut berucap berkata, ini adalah calon Pakatan Harapan yang diwakili oleh Amanah.
Azhar diperkenalkan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam majlis yang penuh sesak dengan para penyokong ketiga-tiga parti Pakatan Harapan malam tadi.
Ia juga diikuti secara langsung oleh lebih 1500 penonton video melalui Facebook Amanah di samping ribuan lagi yang mendengarnya melalui radio internet, DPedas.fm.
"Suasana ini mengulangi ketika Pakatan Rakyat diperkenalkan buat pertama kalinya dahulu. Suasana itu kini kita dapat kembali," kata Mohamad yang berucap memperkenalkan calon itu.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang turut berucap memberikan jaminan, pemimpin DAP akan berada setiap hari dalam kawasan pilihan raya kecil yang mempunyai 33% pengundi Cina ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan.
Turut berucap adalah Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan naib presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof.
Dengan pengumuman ini, pertandingan tiga penjuru akan berlaku di Sungai Besar iaitu Pakatan Harapan melawan calon Barisan Nasional yang diwakili Budiman Radhi dan calon Pas Dr Rani Othman.
Malam ini, Pakatan Harapan akan memperkenalkan calon mereka di Kuala Kangsar pula.
Kedua-dua pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian ahli parlimen mereka dalam kemalangan helikopter ketika berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Penamaan calon akan diadakan 5 Jun ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 18 Jun ketika umat Islam sedang berpuasa.