SEKINCHAN, 12 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berharap supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil kira pandangan Majlis Raja-raja Melayu yang telah menitahkan supaya Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diperhalusi sebelum ia dilaksanakan.
Menurut Kit Siang, sementara tarikh sebenar penguatkuasaan Akta itu masih belum ditetapkan, adalah wajar untuk pindaan terhadap Akta berkenaan dapat dilakukan, selaras dengan pandangan dan tuntutan Majlis Raja-raja Melayu.
“Ini adalah penting kerana Akta ini bersangkut paut dengan hak asasi manusia, malah ia juga mengenai demokrasi, Perlembagaan negara dan kuasa Raja-raja Melayu,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Akta MKN mendapat tentangan hebat daripada blok pembangkang ekoran pelaksanaannya yang membolehkan penguatkuasaan darurat di sesuatu kawasan keselamatan yang diisytiharkan oleh majlis berkenaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
UMNO-Barisan Nasional telah berjanji untuk memperhalusi Akta berkenaan supaya ia dapat diselaraskan dengan tuntutan Majlis Raja-Raja, namun parti pemerintah itu ternyata tidak berbuat demikian apabila Akta tersebut diwartakan Selasa lalu tanpa mengambil kira titah Majlis Raja-raja.
Menurut warta, Akta MKN berkenaan menerima perkenan Diraja berdasarkan Fasal 4A Perkara 66, Perlembagaan Persekutuan.
Fasal berkenaan memperuntukan mana-mana rang undang-undang secara automatik menerima perkenan jika Yang di-Pertuan Agong tidak berbuat demikian dalam masa 30 hari dari tarikh ia dikemukakan kepada baginda.
Terdahulu Kit Siang bersama-sama calon Amanah bagi pilihanraya kecil Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim serta kepimpinan yang lain menyantuni penduduk pelbagai kaum di sekitar pekan Sekinchan. – Roketkini.com