Lebih 5 dekad perintah, BN gagal atasai masalah kemudahan asas
Lebih 50 tahun BN menguasai Sarawak tetapi pelbagai masalah seperti hak milik tanah, perumahan mampu milik serta bekalan air bersih terus menghantui rakyat di negeri itu.
Pengarah Pusat Media Amanah, Dr Mohamad Jolhi berkata, kebanyakan calon bertanding dari Amanah mendapat aduan daripada pengundi yang tidak berpuas hati dengan masalah pemilikan geran.
“Selain isu hak milik tanah, masalah perumahan rakyat juga menjadi kebimbangan besar para pengundi. Contohnya di Muara Tuang, para pengundi mengadu kerajaan negeri kurang ambil peduli untuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang sesuai.
“Di Dun Kabong, antara isu besar dan kritikal adalah berkaitan bekalan air bersih kepada penduduk. Insiden perbalahan juga didakwa sering berlaku berpunca daripada perebutan air bersih ini,” ujar Dr Mohamad.
Untuk rekod, calon bertanding dari Amanah, Abang Abdul Halil Abang Naili di N16 Muara Tuang bakal berentap dengan parti komponen BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pas.
Pada PRN 2011, BN menerusi PBB menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut dengan majoriti 7,843 undi.
Sementara itu, kerusi baharu di N40 Kabong menyaksikan pertembungan calon Amanah, Jini bin Sahini dengan calon BN-PBB, Mohd Chee Kadir.
Tambah membebankan rakyat di Sarawak, jelas Dr Mohamad, adalah kenaikan kos hidup dengan golongan berpendapatan rendah bawah 40 peratus (B40) paling teruk terjejas.
Mengulas pendedahan kajian Malaysia’s Millennium Development Goals Report 2015 terbitan bersama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Februari lalu, beliau berkata, bahana pelaksanaan GST akhirnya menyebabkan rakyat tersepit.
Menurut kajian tersebut, perbelanjaan naik 79 peratus daripada pendapatan kepada RM2,015 walaupun pendapatan purata isi rumah B40 naik 12.9 peratus kepada RM2,537 sejak 2009.
Selain itu, kajian berkenaan juga mendapati lebihan pendapatan isi rumah menurun daripada RM522 ke RM400 sejak GST berkuatkuasa.