PAS, JIKA MENANG DI SUNGAI BESAR & KUALA KANGSAR LEBIH MENJADI ANCAMAN KEPADA PAKATAN HARAPAN
Pembangkang utama dalam negara sekarang ialah Pakatan Harapan yang mempunyai tiga parti yang meliputi semua kaum iaitu PKR, DAP dan Amanah manakala Pas adalah pembangkang yang bersendirian sejak meninggalkan Pakatan Rakyat dan hanya baru-baru ini saja menubuhkan blok ketiga bersama sebiah parti kecil iaitu Ikatan.
Selain itu, Pakatan Harapan juga adalah gabungan tunggal yang berhasrat untuk menjadi kerajaan alternatif kepada BN sedangkan Pas hanya mahu menjadi penasihat semata-mata.
Lantaran itu, sekiranya ada pilihanraya kecil di mana-mana, Pakatan Harapan semestinya lebih layak meletakkan calon untuk berlawan dengan BN berbanding Pas.
Lebih-lebih lagi dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar di mana pengundi bukan Melayu adalah 33 peratus dan 31 peratus, kesesuaian itu tentu saja lebih kepada Pakatan Harapan.
Sebagai pembangkang yang kedua, Pas boleh memilih sama ada untuk sama-sama bertanding dan membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru atau berunding dengan Pakatan Harapan untuk menjadikan satu lawan satu.
Jika mereka benar-benar ingin bersama dengan pembangkang menumbangkan BN dan menjadikan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mesej penolakan terhadap Najib, Pas seharusnya lebih sedia berlembut dan bertolak ansur dengan Pakatan Harapan.
Alasan bahawa Sungai Besar dan Kuala Kangsar kawasan tradisi yang ditandingi Pas sejak merdeka tidak boleh diterima sama sekali kerana ia adalah "kawasan tradisi kalah, bukannya tradisi menang",
Kawasan tradisi menang mungkin boleh ditolak-ansur untuk orang lain tidak kacau daun, tetapi kawasan tradisi kalah, tolak ansur untuk pihak lain mencuba sepatutnya lebih terbuka.
Dengan itu, tentu saja tidak masuk akal apabila Pas pula yang meminta Pakatan Harapan agar jangan kacau daun dan membiarkan saja mereka bertanding di kedua-dua kawasan itu.
Bukankah yang menjadi pembangkang utama serta benar-benar ingin mengalahkan BN dan menjadi alternatif kepada kerajaan ialah Pakatan Harapan?
Walaupun pimpinan Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad dan Iskandar Abd Samad sebagai contoh, terlihat agak senada dengan Pakatan Harapan, tetapi Hadi Awang, Dr Haron Din dan Nasharuddin Tantawi jelas begitu merendah diri dan seakan-akan lebih menerima Najib.
Sudah pasti, di sebalik ada pimpinan Pas yang kekal dengan iltizam menumbangkan UMNO dan BN, kedudukan Hadi Awang sebagai Presiden dan Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am, jauh lebih dominan dalam menguasai dan menentukan hala tuju parti itu.
Pas juga tidak pernah secara khusus mengatakan mereka akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan mendepani BN dalam pilihanraya akan datang. Di sebalik bertahalul siyasi dengan PKR di Selangor, Pas juga amat memusuhi DAP dan Amanah.
Matlamat Pas lebih ingin bertanding bersendirian dalam pilihanraya umum akan datang, malah dalam video yang pernah tersebar tidak lama dulu, Tuan Ibrahim Tun Man mengatakan Pas akan "bernilai tinggi" dalam bersendirian ini dan akan menjadi rebutan selepas keputusan PRU 14 memandangkan sama ada BN atau Pakatan, kedua-dua dilihat tidak mampu memenangi jumlah kerusi yang betul-betul kukuh untuk membentuk kerajaan.
Maknanya apa?
Maknanya tidak lain ialah bahawa Pas boleh bekerjasama dengan sesiapa saja, asalkan parti mana lebih kuat atau yang mampu memberi tawaran lebih baik.
Tidakkah ini sebenarnya merbahaya kepada kedudukan Pakatan Harapan?
Oleh itu, meskipun pertandingan satu lawan satu adalah terbaik untuk menumbangkan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pakatan Harapan juga harus sentiasa berwaspada tentang matlamat dan kiblat sebenar Pas sekarang ini dan semenjak Hadi Awang pandai bersedondon merah jambu dengan Najib.
Kebulatan tekad Pas untuk terus bertanding tanpa kompromi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sama sekali tidak membantu mengukuhkan barisan pembangkang untuk berlawan dengan BN, malah sekiranya mereka menang di salah satu atau kedua-dua kerusi itu, ia adalah ancaman sebenar kepada perjalanan Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN dan menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.
Dalam keadaan tradisi kalah pun susah diajak berunding, setelah menang nanti bukan saja segala-galanya bertambah sukar, malah tidak mustahil "warna merah jambu akan lebih menyerlah kemerah-merahannya". (SH 19/05/2016).