6 kali janji bina klinik di Tasik Biru, pengundi tidak percaya – DAP
Kerajaan BN didakwa cuba memperbodohkan rakyat Sarawak dengan menjanjikan projek yang sama walaupun sudah enam kali pilihanraya di negeri itu.
Calon DAP bagi kerusi DUN Tasik Biru, Mordi Bimol berkata antara janji kosong BN kepada rakyat Sarawak adalah membina Klinik Kesihatan Stungkor namun sejak 16 tahun lalu sehingga sekarang projek tersebut tidak berjalan.
“Sudah tiga pilihanraya umum 2004, 2008 dan 2013 berlalu dan tiga lagi pilihanraya negeri Sarawak 2006, 2011 dan kini 2016 malah sudah masuk tahun ke-16 dan penduduk Tasik Biru masih lagi menunggu sebuah Klinik Kesihatan Stungkor yang keadaan tanahnya seperti hutan dan dipenuhi semak.
“Enam kali pilihanraya, janji nak bina Klinik Kesihatan Stungkor – sampai sekarang habuk pun tak ada! Inilah janji kosong ala Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Bimol, lebih menyedihkan apabila pemimpin BN membuat pengumuman meluluskan tiga projek pembinaan hospital di Sarawak dikawasan yang sama walaupun perkara itu telah dibuat sejak tiga tahun lepas.
“Pada 30 Jun 2013 Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya telah meluluskan pembinaan 3 hospital baru di Sarawak di Lawas, Petra Jaya dan Sri Aman.
“Tiga tahun selepas pengumuman Timbalan Menteri Kesihatan dibuat, satu lagi pengumuman dibuat oleh Kementerian Kesihatan; kali ini oleh Menteri Kesihatan pula, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada 30 April lepas melibatkan projek yang sama pada musim pilihanraya negeri Sarawak ini.”
Katanya, dengan pelbagai janji kosong yang ditabur kerajaan BN kepada rakyat Sarawak untuk membina hospital jelas menunjukkan mereka tidak mementingkan tahap kesihatan penduduk Bumi Kenyalang itu.
“Meskipun tonggak pimpinan di Sarawak sudah bertukar dari tangan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud kepada Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem, namun tidak nampak habuk pun dari pembinaan ketiga-tiga hospital ini,” katanya.