Terengganu: Mungkinkah Pas akan sokong MB baru sehingga PRU 14?
Spekulasi bertiup kencang Pas akan memberi sokongan secara tidak rasmi kepada MB baharu yang akan dicadangkan Umno – BN.
Menurut pemerhati politik yang rapat dengan Pas Terengganu, kemungkinan tersebut tidak dapat ditolak memandangkan PM Najib dikatakan tidak bersetuju dengan pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya negeri.
Pas dikatakan tidak akan menyokong sebarang usaha bekas MB Ahmad Said sekiranya beliau menarik keluar beberapa ADUN untuk menyertai pembangkang. Tambah sumber itu, Pas amat anti terhadap Ahmad Said yang didakwa terbabit dengan isu perobohan masjid Bujal, yang didirikan penyokong Pas di Kemaman tidak lama dahulu.
“Beberapa kenyataan pimpinan Pas pusat akhir-akhir ini menzahirkan kerjasama lisan dengan Umno untuk memastikan MB Umno terus berkuasa. Geng Mat Said tidak akan berupaya membalas dendam mereka ke atas Umno negeri
“Oleh itu, ada ura-ura Umno akan bersama Pas mentadbir Terengganu selepas MB baru dilantik menggantikan Razif
“Tapi kerjasama yang dibuat kelak bukan bergabung atau pun kerajaan campuran cuma persefahaman sehingga PRU 14,” kata sumber berkenaan dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Kata beliau lagi, krisis politik Terengganu tidak akan berakhir dengan mudah kerana semuanya telah dirancang sejak berakhirnya PRU 13 lalu.
“Krisis di Terengganu berpunca daripada percaturan puak-puak dalaman Umno selepas BN hampir tumbang kepada Pas dan PKR
“Sejak Idris Jusoh digantikan oleh Mat Said sehingga era MB Ahmad Razif, masing-masing ketua puak sangat tidak berpuas hati antara satu sama lain
“Tambahan pula mereka sedar kelemahan Najib dalam menguruskan isu politik Terengganu.
“Sesiapa pun yang menerajui kerajaan negeri selepas ini akan dikira rapuh sehingga PRU 14. Ini kerana adanya Adun-Adun yang tidak dapat dijamin kesetiaan mereka kepada arahan Umno pusat.
“Dengan berlakunya perang Mahathir – Najib disertai bekas MB Ahmad Said maka Umno Terengganu akan bertambah kacau bilau selepas ini,” akhiri sumber itu.