Rafizi ancam dedah nama individu dikehendaki skandal 1MDB
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengugut akan mengeluarkan Senarai Rakyat Dikehendaki yang mengandungi nama-nama individu ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, senarai itu akan disiarkan, jika mereka yang melindungi individu bertanggungjawab terhadap hutang 1MDB tidak tampil dan mendedahkan maklumat yang boleh membuktikan salah laku “orang-orang atasan”.
“(Perdana Menteri) Najib Razak rasa dirinya halimunan. Tetapi, kami boleh sentuh mereka yang terbabit dalam 1MDB. Jadi, ini mesej langsung saya kepada sesetengah orang yang dinamakan dengan jelas dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), selepas ini kita akan mengeluarkan satu Senarai Rakyat Dikehendaki.
“Jika tidak boleh dapatkan orang di atas (Najib), anda buru orang-orang yang lindungi dia. Ia tugas kami untuk memastikan mereka terus berlari, sehingga tiada lagi tempat untuk mereka tuju,” katanya pada Forum Laporan PAC 1MDB ‘Najib Bersubahat atau Tidak Bersalah?’, malam tadi.
Beliau kemudiannya menamakan jutawan, Low Taek Jho; Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Casey Tang sebagai orang yang diburunya.
“Kami akan jatuhkan kamu satu persatu, jadi kamu pilihlah sama ada mahu tampil atau berdepan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.
“Kamu putuskan sama ada mahu benarkan Najib jadikan kamu kambing hitam atau selamatkan diri kamu,” kata Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung PKR itu.
Menurut Rafizi, individu terbabit bersama Lembaga Pengarah dan kakitangann 1MDB boleh didakwa melakukan lima kesalahan di bawah Akta Syarikat.
Kesalahan-kesalahan itu, jelasnya, termasuk menghalang keadilan untuk Arul Kanda, pecah amanah yang dilakukan Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB, berkomplot untuk menyorokkan jenayah dan kelalaian tanggungjawab fidusiari.
“Bagi semua ahli lembaga, kami akan pastikan orang ramai memburu setiap seorang daripada kamu sehingga kamu tampil dan dedahkan sesuatu.
“Saya tidak akan masuk (penjara) seorang. Disebabkan saya akan dipenjarakan, lebih baik saya heret semua yang terbabit dalam 1MDB bersama saya,” katanya merujuk kepada kes mahkamah atas pertuduhan mendedahkan dokumen rahsia rasmi kerajaan.
“Berada dalam penjara tidak seteruk mana sekarang. Saya pasti mereka yang ditahan dalam isu berkaitan 1MDB akan menjadi selebriti,” tambahnya.
Lebih 1,000 orang menghadiri forum yang turut disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.