Najib, BN tak mampu bawa rakyat Malaysia ke tahap lebih tinggi



2016-04-10_15.51.07
SERDANG, 10 APRIL: Kerajaan pimpinan UMNO-Barisan Nasional bukan sahaja gagal membawa perkembangan positif kepada semua lapisan masyarakat, malah semakin membawa Malaysia ke arah pengunduran.
Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee, membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kononnya BN mampu membawa semua kaum termasuk minoriti ke tahap lebih tinggi.
“Kelemahan kerajaan BN terutamanya di bawah pentadbiran Najib telah mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saing di arena antarabangsa.
“Contohnya, BN laksanakan cukai GST pada masa yang tidak sesuai, iaitu ketika masih ramai rakyat negara ini yang berpendapatan rendah. Ia menyebabkan ekonomi negara semakin meleset.
“Lagipun, hutang negara yang meningkat sehingga mencecah RM630.5 bilion sekarang membuktikan lagi kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib bahawa hanya BN yang mampu membawa semua kaum ke tahap lebih tinggi dengan menyediakan platform bersesuaian dengan kehendak mereka.
Menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai tidak berasas, Eddie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong mencabar Najib untuk menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) seluruh negara dari RM 720 ke RM1,500 seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Saya yakin Najib tidak akan berani berbuat demikian kerana jumlah keluarga yang berada di bawah paras kemiskinan akan meningkat secara mendadak.
“Pembangkang bukan setakat cakap sahaja tetapi kami melakukan perubahan yang jelas terbukti di Selangor dan Pulau Pinang.
“Nampaknya PM dan BN yang banyak cakap tanpa sebarang bukti pencapaian,” tegasnya. – Roketkini.com