ULASAN: Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN berpandangan bahawa para pengkritik ke atas lawatan Dr Zakir Naik ke Malaysia sewajarnya meniliti dengan cermat ceramah-ceramah dan pendirian peribadi beliau sebelum membuat kritikan yang melulu sehingga boleh menjejaskan keharmonian agama di Malaysia.
Justeru, undangan terhadap Dr Zakir Naik tidak sewajarnya disensasikan oleh pihak-pihak tertentu seperti Hindraf, MIC dan lain-lain. Dr Zakir Naik telah melawat Malaysia berkali-kali dan telah mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Malaysia dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Malaysia pada tahun 2014.
BiPPA merasa kesal dengan pembatalan program Dr Zakir Naik oleh PDRM di UTEM, Melaka, pada 17hb.April ini secara tergesa – tergesa tanpa memberi justifikasi yang munasabah.
Program tersebut selaras dengan status UTEM sebagai sebuah menara gading ilmu yang menekankan iltizam terhadap pengembangan intelektualisme dan sekaligus bertujuan untuk mempertingkatkan program dialog antara agama.
Ketokohan Dr Zakir Naik sebagai seorang ilmuan perbandingan agama seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin.
Seandainya pengucapan-pengucapan Dr Zakir Naik telah menimbulkan perkara-perkara sensitif dan negatif di kacamata masyarakat bukan Islam, maka sudah pasti kegiatannya telahpun dilarang oleh kerajaan India yang mempunyai majoriti penganut agama Hindu.
Sebaliknya adalah suatu yang memeranjatkan apabila pihak-pihak tertentu di Malaysia tidak menunjukkan kematangan dan lebih bersifat emosi.
Dalam menghadapi isu-isu yang sensatif seumapama ini, BiPPA ingin menganjurkan supaya proses mendidik rakyat Malaysia dalam memahami tradisi semua agama yang wujud di dalam negara ini wajar dipertingkatkan dengan lebih serius. Hakikatnya kelainan antara agama-agama tidak wajar dijadikan sebagai punca perpecahan, sebaliknya ianya dapat dijadikan faktur pemersatu antara rakyat Malaysia.
Dalam hubungan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum, keADILan telah melakar usaha-usaha dialog antara agama/tamadun mulai dekad 70’an di dalam negara ini.
Sewajarnya selepas 60 tahun kemerdekaan negara, keunikan tiga tamadun besar iaitu Islam, Cina dan India yang wujud di Malaysia telah dapat mengelakkan berlakunya konflik pemikiran yang berkaitan dengan kemajmukan agama. Dalam sejarah peradaban Islam, Al-Biruni, seorang ilmuwan Islam ternama telah menulis sebuah karya penting tentang agama Hindu.
Justeru, bukan suatu perkara yang asing bagi seorang penganut Islam menekuni agama-agama lain untuk tujuan menambahkan kefahaman.
Sebagai warganegara Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, kehadiran Dr Zakir Naik tidak sepatutnya disekat dan jika terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan hati dalam kalangan penganut-penganut bukan Islam, maka sewajarnya pertemuan-pertemuan seperti sidang meja bulat adalah penting untuk diadakan dengan pihak-pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan khususnya dari Dr Zakir Naik sendiri dan pihak penganjur.
Pertemuan tertutup adalah penting untuk mendidik penganut agama masing-masing tentang perlunya menghormati kemajmukan agama agama yang merupakan fitrah Allah SWT supaya tidak timbul lagi ketidakmatangan rakyat Malaysia dalam kehidupan pelbagai agama. Kita yakin bahawa rakyat Malaysia menolak sebarang tindakan yang bersifat penghinaan terhadap semua agama.
Di dalam Islam penghinaan terhadap agama-agama sangat dilarang. Ia juga bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan juga Rukun Negara. Justeru pertemuan antara pemimpin agama perlu lebih kerapa diadakan.
Dalam hubungan ini, BiPPA mengalu-alukan kenyataan Mufti Pulau Pinang, Mufti Wilayah Perseketuan dan Mufti Perlis yang menyokong secara terbuka terhadap program-program Dr Zakir Naik di negara ini..
Kesimpulannya, BiPPA berpandangan bahawa program-program Dr Zakir Naik wajar diteruskan supaya dialog antara agama dapat disuburkan.
Keupayaan rakyat Malaysia dalam mengamalkan dialog yang terbuka, beretika dan matang adalah suatu yang wajib sebagai prasyarat Malaysia menjadi negara yang maju dan bertamadun tinggi.
BiPPA juga mengalu-alukan program kehadiran tokoh-tokoh agama bukan Islam ke negara ini sebagai merealisasikan keharmonian dan kebebasan beragama di Malaysia.
Dr Muhammad Nur Manuty adalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat