2016 tahun sukar, ekonomi menurun – Dewan Perdagangan Cina
Satu kajian oleh Associated Chinese Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri Cina, Malaysia) baru-baru ini mendapati komuniti usahawan Cina masih pesimis terhadap situasi ekonomi Malaysia sepanjang 2016, sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris, 30 Mac lalu.
Timbalan pengerusi seksyen kaji-selidik isu sosio-ekonomi ACCCIM, Peck Boon Soon berkata, suasana pesimis adalah selari dengan jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan turun ke paras sekitar 4% tahun ini daripada 5% tahun sebelumnya.
“Kalau anda melihat pada angka jualan, ia tidak meningkat banyak. Walaupun nilai ringgit telah naik pada masa kini, ia masih belum mencukupi untuk menaikkan angka jualan kerana kesan kejatuhannya pada tahun lalu telah menyerap masuk ke dalam negara kita dan ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk dibaiki-pulih,” kata beliau dipetik.
Peck berpendapat kegawatan ekonomi sedunia dan keadaan ekonomi yang suram di rantau ASEAN menyebabkan usahawan sederhana dan kecil telah mendapat kesan negatif.
Pada tahun lalu, katanya, dari bulan Julai hingga Disember, 88% responden dari jumlah 401 dari berbagai sektor industri telah mengalami kenaikan kos yang mendadak dalam menjalankan perniagaan mereka.
Sebanyak 46% usahawan memberitahu bahawa mereka menjangkakan akan mengalami kesusahan pada masa depan sementara 56% pula berkata mereka akan membiarkan pengguna membayar kos pengeluaran tersebut.